Jumaat, 25 September 2015

DBKL sedia asrama kepada golongan gelandangan

 
Salah satu asrama yang dibina berdekatan Bulatan Pahang dengan menelan belanja RM10 juta dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan dari sekarang.


dewan-bandaraya-kuala-lumpu


KUALA LUMPUR : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal menyediakan tiga asrama sementara kepada golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan berkata, salah sebuah asrama sementara itu terletak di kawasan berdekatan Bulatan Pahang di tanah seluas setengah ekar dan sudah siap lebih 90 peratus.

“Asrama yang menelan belanja RM10 juta itu dibina di lokasi yang cukup strategik berdekatan dengan hospital, dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan dari sekarang dan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya pada sidang media selepas lawatan di Pusat Khidmat Sementara Gelandangan di Lorong Medan Tuanku 2, pada Jumaat.

Bangunan itu dibina oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan menempatkan 250 buah katil.

Dua asrama sementara yang lain pula dirancang dibina di kawasan sekitar Keramat dan Chow Kit.

“DBKL telah mengenal pasti lokasi sesuai untuk membina asrama sementara di Chow Kit yang terletak di Lot 318 dan 319 dan kini memulakan proses pengambil alihan tanah di kawasan itu.

“Manakala di Keramat, lokasi yang dikenal pasti ialah di Pasar Lama Keramat di mana kerajaan mahu membangunkan semula kawasan dengan membina unit-unit kecil.

“Sebagai contoh, mungkin satu unit itu akan ada satu apartment yang boleh menempatkan lapan bilik,” katanya.

Tiada ulasan: