Rabu, 2 September 2015

Bersih 4 tunjukkan Najib tiada sokongan rakyat

Oleh: Nadia Hanafi


PETALING JAYA- Perhimpunan Bersih yang dihadiri ratusan ribu rakyat hujung minggu lalu membuktikan Datuk Seri Najib Razak tidak mendapat sokongan rakyat, kata Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.

Beliau menyangkal reaksi perdana menteri dan media kawalan kerajaan yang menyatakan himpunan itu tidak mendapat sambutan, khususnya daripada kalangan masyarakat Melayu.

Rafizi PKR“Saya ada cuba tweet dengan mengatakan ‘kalau anda tidak sokong Najib, tolong retweet’. Sampai sekarang tweet tersebut mencecah 7000 orang yang retweet.

“Untuk mencapai 7000 retweet itu telah menunjukkan orang ramai dalam sosial media menyokong Bersih.

Ini juga menunjukkan Najib tidak mendapat sokongan daripada majoriti sama ada mereka pergi Bersih atau tidak,” katanya ketika ditemui.

Najib baru-baru memperlekeh himpunan itu dengan mengatakan peserta Bersih 4 sebagai “tidak matang” dan “berminda cetek”, bahkan menuduh mereka cuba mengganggu ketenteraman awam.

Manakala media kawalan kerajaan seperti Utusan Malaysia pula memainkan sentimen bahawa himpunan itu didominasi kaum Cina dan DAP.

Rafizi dalam pada itu tidak menolak kemungkinan Umno BN akan terus menggunakan isu perkauman dalam kempen Pilihan Raya Umum akan datang.

Bagaimanapun, katanya, himpunan Bersih 4 membuktikan semangat muhibah di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum terus utuh dan bukan seperti digambarkan Umno.

“Mereka (Umno) boleh cuba apa sahaja tapi banyak gambar ratusan ribu rakyat Malaysia di atas jalan akan meneutralkan apa-apa propaganda yang Umno ingin lakukan.

“Ada gambar yang viral di sosial media di mana orang bukan Melayu menawarkan air untuk orang Islam mengambil wuduk. Gambar ini lebih kuasa dari propaganda Umno,” katanya.

Perhimpunan Bersih 4 pada 29 hingga 30 Ogos lalu mendapat sambutan hebat apabila penganjur mendakwa ia dihadiri kira-kira 500,00 peserta.

Himpunan dengan empat tuntutan utama, termasuk pembersihan pilihan raya itu berlangsung selama 34 jam dan menyaksikan ibu negara dibanjiri lautan manusia berpakaian kuning.

Tiada ulasan: