Jumaat, 25 September 2015

Benteras barangan tiruan bukan tugas Baju Merah

 
Ia tanggunggjawab pihak berkuasa termasuk DBKL untuk membenteras barangan tiruan di Petaling Street


Petaling-Street_jamal_600


PETALING JAYA: Sebahagian besar premis perniagaan di Jalan Petaling dijangka menutup operasi niaga mereka pada Sabtu ini.

Ia susulan ancaman yang diterima daripada penganjur penunjuk perasaan Baju Merah untuk mengadakan bantahan di kawasan berkenaan.

Kekhuatiran itu disampaikan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur, Datuk Ang Say Tee.

Katanya, 400 daripada 773 peniaga takut akan berlaku huru-hara seperti yang berlaku 16 September lalu.
“Ahli-ahli telah menghubungi saya dan bertanya jika mereka perlu tutup kedai pada hari Sabtu. Mereka bimbang perniagaan akan terganggu.

“Saya nasihatkan mereka supaya membuat laporan polis. Kami takut sebab kami menjalankan perniagaan,” katanya yang dipetik dari Mstar Online.

Mengulas mengenai dakwaan Pengerusi Gabungan NGO-NGO Melayu, Datuk Jamal Md Yunos, yang menjadikan alasan kebanjiran barangan tiruan di kawasan berkenaan untuk mengadakan bantahan, Say Tee berkata, ia bukan tugas Baju Merah, sebaliknya tanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Jika kami buat salah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu mengambil tindakan terhadap kami, bukan mereka,” tambah Say Tee.

Jamal yang juga, Ketua Umno Sungai Besar dan Pengerusi Gabungan NGO Melayu baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa akan berlaku kekecohan di Jalan Petaling pada Sabtu jika tuntutan penunjuk perasaan Baju Merah tidak dipenuhi.

Mereka mendesak supaya kementerian mengambil tindakan terhadap penjualan barang-barang yang dikatakan tiruan dan para peniaga perlu berkongsi sebahagian daripada pendapatan mereka dengan kaum lain dan berhenti memonopoli kawasan itu.

Tiada ulasan: