TUMPAT: Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ariffin Said
meninggal dunia akibat kanser pankreas tahap empat di Hospital Raja
Perempuan Zainab II di sini pukul 3.45 pagi Jumaat.
Beliau berusia 76 tahun.
Menantunya, Mohd Zamri Hassan, 53, berkata Allahyarham dimasukkan ke
hospital itu kira-kira dua minggu lalu selepas mengadu sakit perut.
Beliau berkata Allahyarham hanya dikesan menghidap kanser berkenaan
apabila mendapatkan rawatan di hospital itu kerana sakit perut kira-kira
dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
"Bagaimanapun, kira-kira dua minggu lepas, Allahyarham kembali mengadu
sakit perut dan anggota keluarga bawa beliau ke hospital sebelum beliau
menghembuskan nafas terakhir pagi tadi," katanya ketika ditemui di
kediaman Allahyarham di Kampung Wakaf Baharu di sini.
Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Yong Arisa Abdullah, 54, dua anak lelaki dan tiga anak perempuan.
Solat jenazah diadakan di Masjid al-Ismaili, Wakaf Baharu di sini
selepas solat Jumaat dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam
Kampung Lata.
Anak kelahiran Kampung Dewan Beta, Kota Baharu, itu menjadi Timbalan
Menteri Besar Kelantan selama empat tahun dari 6 Mei 1982 hingga 11 Ogos
1986 selepas menang Pilihan Raya Umum ke-6 pada 1982 sebagai Anggota
Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional bagi Manek Urai.
Walaupun memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Paloh pada Pilihan Raya
ke-7, beliau tidak dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Besar
apabila BN dan PAS bergabung menubuhkan kerajaan Kelantan.
Beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan
Selatan (KESEDAR) pada 1988, Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang pada
1991 dan Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan
(FELCRA) pada 1991.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan