Rabu, 9 September 2015

Baju Kuning atau Baju Merah Azizah Dun tolak

MALAYSIAKINI

 


Malaysia tidak memerlukan sebuah lagi perhimpunan selepas BERSIH 4 pada 29 dan 30 Ogos lalu, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun.

Ini, katanya, termasuk perhimpunan Baju Merah anti-BERSIH pada Hari Malaysia 16 September ini.
Bercakap kepada Malaysiakini, Azizah berkata beliau bimbang perhimpunan itu akan terus mengundang provokasi, seperti berlaku dalam BERSIH 4.

“Kita nampak apa yang berlaku semasa himpunan BERSIH 4 berlangsung.

“Walaupun sudah diberitahu pihak polis ada tempat-tempat yang mereka tidak boleh berkumpul tetapi mereka langgar juga undang-undang, buat perkara yang boleh cetus provokasi seperti memijak gambar PM dan Datuk Seri Hadi Awang,” katanya.

Kumpulan aktivis pendesak Melayu bercadang mengadakan “Himpunan Rakyat Bersatu” minggu depan untuk menyatakan bantahan terhadap BERSIH 4 yang dikaitkan dengan dominasi Cina dan DAP.

Ketika dihubungi Azizah yang juga ahli Parlimen Beaufort itu berkata siapa pun yang tidak berpuas hati dengan kerajaan seharusnya menunggu pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Bagi saya hak demokrasi ini dibuat sewaktu pilihan raya dan ternyata BN telah pun menang dan menjadi pemerintah dalam negara ini.

“Siapa saja yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan dan kerajaan bolehlah tunggu pilihan raya akan datang,” katanya.

Azizah bagaimanapun berkata terpulanglah kepada pihak berkuasa untuk menangani perhimpunan itu, selain menegaskan ia perlu mengikut undang-undang ditetapkan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid semalam melarang perhimpunan di Bukit Bintang dan Jalan Petaling atas alasan implikasi keselamatan.


Tiada ulasan: