Ahad, 6 September 2015

Azmin gesa polis tumpu kes jenayah, bukan buang masa dengan Bersih



Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media ketika menghadiri program PJ Half Marathon di Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Wan Asraf, 6 September, 2015.Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media ketika menghadiri program PJ Half Marathon di Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Wan Asraf.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali hari ini menggesa polis supaya menumpukan kepada masalah jenayah yang lebih serius berbanding memanggil individu yang terlibat dalam perhimpunan Bersih 4 hujung minggu lalu. 
 
Azmin berkata tindakan polis itu membuang masa dan membazir wang rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan supaya pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga kepentingan dan keselamatan awam.

"Tidak harus wang rakyat seperti ini digunakan untuk kepentingan politik mana-mana pihak. Itu gesaan saya pada polis.

"Polis perlu tumpu masalah jenayah yang semakin serius hari ini dan tidak menekan rakyat yang sebenarnya berhimpun secara aman, menurut perlembagaan dan peruntukan sedia ada," katanya selepas menghadiri 'PJ Half Marathon' di Petaling Jaya, pagi ini. 
 
 Beliau yang juga timbalan presiden PKR itu menyeru kepada pihak polis agar melihat kembali perkara itu dengan serius supaya keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap institusi itu dapat dikembalikan.
 
"Institusi PDRM adalah satu sistem demokrasi yang harus memelihara ketenteraman dan keselamatan rakyat, bukan individu," kata Azmin.

Khamis lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis akan memanggil lebih ramai lagi individu dan peserta yang menyertai perhimpunan Bersih 4 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Katanya, polis sedang mengkaji klip video dan gambar semasa perhimpunan 34 jam tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau berkata, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga akan dipanggil dan disiasat mengikut Kanun Keseksaan berhubung ucapannya pada perhimpunan tersebut.

Bersih 4 menyaksikan ribuan rakyat Malaysia tidur di jalanan dalam satu perhimpunan bermalam yang pertama seumpamanya di negara ini.

Polis sebelum itu mengisytiharkan perhimpunan itu tidak sah dan Kementerian Dalam Negeri mengharamkan sebarang penggunaan warna kuning dengan perkataan "Bersih 4".

Tetapi polis tidak bertindak ke atas peserta perhimpunan sepanjang ia berlangsung dengan aman, berakhir pada tengah malam 30 Ogos dengan ribuan menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dan melaungkan Merdeka.

Peguam bagaimanapun berkata, pihak polis bertindak salah apabila mengisytiharkan perhimpunan itu haram kerana berhimpun secara aman tidak menyalahi sebarang undang-undang dan ia diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Perhimpunan itu diadakan ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didesak bertanggungjawab terhadap dakwaan skandal kewangan melibatkan syarikat milik negara 1Malaysia Development Bhd dan wang RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya.


Tiada ulasan: