KUALA LUMPUR, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali digesa menjelaskan kedudukan Parti Amanah Negara (Amanah) di Selangor memandangkan terdapat dua ADUN parti itu kini mewakili kerajaan negeri.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata walaupun Azmin menyatakan Pakatan Harapan tidak berkaitan dengan kerajaan Selangor, namun ia masih tidak jelas sama ada Amanah dikecualikan daripada kerajaan negeri atau dipanggil ‘Gabungan Azmin’.

“Walaupun Pas bukan sebahagian daripada gabungan yang baru dibentuk iaitu Pakatan Harapan, Menteri Besar Selangor mengesahkan tiga ADUN Pas akan kekal dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Oleh itu, kini terdapat dua gabungan yang melibatkan PKR di negara ini. Yang pertama adalah Pakatan Harapan, bekerjasama dengan DAP dan Amanah. Kedua, ‘Gabungan Azmin’ dalam kerajaan Selangor, dengan kehadiran DAP dan Pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Azmin bahawa Pakatan Harapan tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri Selangor.

Pas juga mengesahkan parti itu tidak akan menyertai Pakatan Harapan.

Menurut Tan, penjelasan daripada Azmin adalah penting untuk mengetahui status Amanah supaya rakyat tahu sama ada dua ADUN itu ‘calon bebas’ atau sebahagian daripada gabungan Azmin.

“Adalah malang Azmin masih belum membuat penjelasan mengenai status Amanah dalam kerajaan negeri Selangor.

“Rakyat berhak untuk mengetahui kebenaran,” ujarnya.