BERNAMA
Mohammad Razin berkata
permohonan Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia untuk menukar nama parti
itu belum diluluskan lagi. Foto fail TRP
PUTRAJAYA, Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia tidak dibenarkan sama sekali untuk mengadakan sebarang aktiviti atau program atas nama Parti Amanah Negara selagi pertukaran nama belum diluluskan, kata Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Razin
Abdullah berkata larangan itu adalah selaras dengan ketetapan yang
diperuntukkan di bawah Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966.
Katanya RoS menerima notifikasi daripada
Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia berhubung pelantikan baharu anggota
Jawatankuasa Pusat yang diputuskan melalui Kongres Luar Biasa yang
diadakan 25 Ogos lepas.
“Sebahagian besar ahli jawatankuasa baru
ini, adalah terdiri daripada bekas ahli-ahli parti Pas yang pernah
memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat sesi 2013-2015,”
katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya permohonan parti itu untuk menukar nama kepada Parti Amanah Negara masih belum diluluskan setakat ini.
Mohammad Razin berkata mana-mana
pertubuhan atau parti dan pemegang jawatan yang didapati melanggar
larangan itu boleh didakwa dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak
lebih RM3,000.
Pada 31 Ogos lepas, Pengerusi Gerakan
Harapan Baru (HB) Mohamad Sabu mengumumkan pembentukan Parti Amanah
Negara (Amanah), yang merupakan penjenamaan semula Parti Pekerja-pekerja
Malaysia untuk digunakan sebagai nama rasmi wadah politik HB.
Bekas timbalan presiden Pas yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu berkata parti itu akan dilancarkan pada 16 September ini.
HB merupakan platform bagi golongan
profesional Pas yang dikatakan kecewa selepas ditolak anggota parti itu
melalui muktamar tahunannya Jun lepas.
Sebelum ini, gerakan itu berhajat untuk
menggunakan nama Parti Progresif Islam (PPI) sebagai nama rasmi parti
politiknya, namun RoS menolak permohonan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan