Ahad, 6 September 2015

Ahmad Bashah enggan ulas isu ganti MB Kedah

Ahmad Bashah enggan ulas isu ganti MB Kedah
Ahmad Bashah (tengah) merasmikan Karnival Pengguna Pulau Pinang 2015 hari ini.


GEORGETOWN - Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah enggan mengulas mengenai desas desus yang mengaitkan namanya turut disebut sebagai pengganti Menteri Besar Kedah yang baharu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkata, tidak tahu menahu tentang perkara itu dan menyifatkannya sebagai hanya cakap-cakap orang.

“Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara itu. Jika nak disebut-sebut, macam-macam orang sebut. Itu hanya cakap-cakap orang.

“Apa yang saya tahu, jawatan saya hanya Timbalan Menteri KPDNKK. Saya datang sini pun atas jawatan itu,” katanya kepada media selepas merasmikan Karnival Pengguna Pulau Pinang 2015 hari ini.

Difahamkan, nama Ahmad Bashah disebut-sebut bakal menggantikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam rombakan yang kononnya akan diadakan pada 1 Oktober ini.

Sebelum ini, timbul desas desus di laman sosial menyebut Ahmad Bashah akan menggantikan Mukhriz dalam rombakan dalam masa terdekat.

Selain Ahmad Bashah, Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin juga disebut-sebut untuk menggantikan Mukhriz.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah berkata, dari Januari hingga bulan ini, KPDNKK menjalankan 1.5 juta pemeriksaan premis di seluruh negara dan  5,724 kes diambil tindakan bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Kami menyita lebih sejuta barangan dan jumlah kompaun sepanjang tempoh itu ialah RM782,000," katanya.


Tiada ulasan: