Jumaat, 4 September 2015

Abdul Aziz: Beri kuasa SPR audit akaun parti politik

FREE MALAYSIA TODAY
 
SPR hanya dipertanggunjawabkan untuk terima laporan perbelanjaan selepas selesai pilihan raya dan bukannya mengaudit


Tan-Sri-Abdul-Aziz-Mohd-Yusof


PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar diberi kuasa untuk melakukan audit terhadap akaun parti politik dan perbelanjaan calon yang bertanding semasa pilihan raya, kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata, ketika ini SPR hanya dipertanggungjawabkan untuk menerima laporan perbelanjaan selepas sesuatu pilihan raya selesai.

“SPR buat masa ini tiada kuasa audit kita cuma terima laporan sahaja itupun hanya perbelanjaan sepanjang tempoh rasmi kempen.

“Laporan itu pula hanya dalam bentuk mengemukakan resit, bil menunjukkan calon berbelanja mengikut yang ditetapkan iaitu RM200,000 untuk Parlimen dan RM100,000 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan hari ulang tahun ke-58 penubuhan SPR di Putrajaya pada Jumaat.

Abdul Aziz bagaimanapun berkata, walaupun SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengaudit, namun terdapat pihak lain bertanggungjawab berbuat demikian antaranya Jabatan Audit Negara.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga bertanggungjawab untuk menyiasat sekiranya terdapat unsur rasuah dalam pertandingan.

Ketika ditanya mengenai pembentukan Jawatankuasa Konsultatif Nasional mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP), Abdul Aziz berkata SPR sedia untuk menyertai jawatankuasa itu sekiranya dipelawa menjadi sebahagian daripada anggota.

“Jika dipelawa, kami akan menyertainya, tapi kalau tak, ia bukanlah kemestian untuk turut serta, mereka (jawatankuasa) boleh hubungi kita kalau ada keperluan,” katanya.

Menurut Abdul Aziz pembentukan jawatankuasa khas itu juga satu tindakan baik kerana ia dapat mengelak mana mana parti politik daripada sebarang tohmahan tidak berasas.

Penubuhan JKNMPP diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 Ogos bagi merangka pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif untuk dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengerusi SPR itu juga berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan pihak Bersih selagi ia mematuhi undang-undang.

“Dia demonstrasi ada apa? Kami tidak mahu pemerhati tidak bebas. Fikirkan, kenyataan mereka, tindakan mereka, adakah mereka bebas?” soal Abdul Aziz.-BERNAMA

Tiada ulasan: