Jumaat, 18 September 2015

16 Sept berjaya? Mungkin tidak, kata penganalisis

Yap Jia Hee


 


Ketika tekanan kepada Najib Razak untuk berundur semakin hebat, dirancang sebuah himpunan pada Hari Malaysia untuk menunjukkan kekuatan sokongan kepada perdana menteri .

Himpunan ini pada asalnya melaungkan tema mempertahan maruah Melayu, namun setelah mendapat reaksi negatif dan demi mengelakkan sebarang perselisihan, ia ditukar kepada Himpunan Rakyat Bersatu pada saat-saat akhir.

Malah semua kaum diundang hadir.

Pada pagi himpunan semuanya berjalan lancar. Namun keadaan bertukar pada sebelah petang apabila berlaku ketegangan antara peserta baju merah dengan polis di pintu gerbang Jalan Petaling.

Di situ, terdapat di kalangan mereka memaki wartawan Cina sebagai "Cina gila babi".

Penganjur sebelum ini menjamin telah memberi jaminan himpunan ini tidak akan dicemari unsur perkauman. Tetapi akhirnya kita lihat munculnya kain rentang dengan tulisan "Hapuskan SJKC" dan "Ini Tanah Melayu".

Tak wakili majoriti Melayu

Bagi bekas pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman beliau tidak nampak himpunan baju merah ini memberi apa-apa manfaat kepada Najib.

"Saya tak nampak himpunan ini memberi 'nilai tambah' kepada Najib mahupun membantu memperkukuh kedudukan Najib," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Katanya, jumlah peserta yang hadir himpunan pada hari Rabu itu juga langsung tidak menggambarkan Najib mendapat sokongan besar rakyat.

"Saya tidak nampak himpunan ini berjaya menyatukan Melayu, saya tidak nampak kepentingannya.
"Sambutan himpunan ini tidak besar, kalau tengok jumlah peserta yang hadir, Najib bukannya mendapat sokongan penuh daripada Melayu," kata Redzuan.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Maszlee Malik pula berpendapat jumlah peserta Melayu yang hadir hanyalah peratus yang amat kecil jika dibandingkan dengan populasi penduduk Melayu di Malaysia.

Katanya, ini menunjukkan majoriti Melayu tidak termakan dengan unsur perkauman yang dilaung-laungkan himpunan ini.

"Pemimpin NGO-NGO Melayu tempatan yang berpengaruh dan prominen langsung tidak hadir, jelasnya himpunan ini tidak diiktiraf oleh kebanyakan Melayu dalam negara ini," katanya.

Matlamat tak capai

Penganalisis politik Phoon Wing Keong pula berkata kedua-dua matlamat himpunan pada Hari Malaysia sebagai reaksi terhadap BERSIH 4 dan menyokong kepimpinan Najib tidak tercapai.

"Tidak kira dari segi jumlah peserta yang hadir, emosi peserta atau perjalanan acara, himpunan 16 September agak gagal jika dibandingkan dengan himpunan BERSIH.

"Kehadiran tidak memuaskan, mereka yang hadir tidak cukup mewakili masyarakat secara keseluruhan, juga tidak dapat menggambarkan masyarakat ini masih ingin Najib kekal jawatan.

"Maka himpunan ini bukannya satu demonstrasi, sebaliknya ia mendedahkan kelemahan," kata Phoon.
Sedikit kesan negatif kepada Najib

Bagaimanapun, dengan berlaku insiden Jalan Petaling, penganalisis politik Wong Chin Huat pula berpendapat himpunan itu sedikit sebanyak mendatangkan kesan negatif kepada Najib.

"Saya rasa kejadian di Petaling Street tidak baik untuk Najib, namun tidak pula mendatangkan kerosakan yang besar kepada Najib," kata Wong.

Wong berkata Umno sendiri jelas rusuhan, jika berlaku, hanya akan mempercepat kejatuhan Najib.
Justeru, katanya, mereka menggunakan slogan "sokong kerajaan" dan menggerakkan sebanyak mungkin peserta untuk hadir.

Namun, katanya, kehadiran masih teruk, malah dicemari pula dengan insiden yang memaksa polis menyembur meriam air.

Pergolakan Umno ke jalanan

Sementara itu, kumpulan berbeza pandangan dalam Umno pula dilihat mempunyai pendirian berbeza terhadap himpunan itu, contohnya timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang sebelum ini terpaling kontroversi kenyataan “Melayu dahulu” kali ini nampaknya tidak bersetuju dengan baju merah walaupun dilaung-laungkan slogan mempertahankan maruah Melayu.

Melihat keadaan itu, Phoon berkata himpunan kelmarin sebenarnya penerusan konflik dalaman Umno.
Ketika pemimpin kanan seperti timbalan menteri menghadirinya, tokoh veteran Umno Tun Mahathir Mohamad pula memperkecilkannya secara terbuka.

"Apabila konflik dalaman Umno diteruskan ke jalanan, bayangkanlah betapa sengitnya pertarungan dalaman mereka.

"Mereka yang hadir dalam himpunan bukannya pemimpin berpengaruh atau berwibawa, malah kebanyakan peserta dimobilasi, maka ini tidak dapat menunjukkan sokongan konsisten semua puak dalam Umno terhadap Najib," jelas Phoon.

Redzuan pula melihat himpunan itu sebagai platform untuk Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos menonjolkan diri.

"Saya lihat himpunan ini lebih kepada promosi individu tertentu," sinisnya.

Umno pun pandai demo

Sementara itu, Wong berpendapat himpunan itu menunjukkan Umno kini menerima kaedah jalan raya untuk menunjukkan perasaan mereka. Semuanya berlaku selepas Mahathir turun dalam perhimpunan BERSIH 4 hujung bulan lalu bagi mendesak peletakan jawatan Najib.

Namun katanya, Umno masih tidak tahu mengawal himpunan sehingga terpaksa ditamatkan dengan pergelutan.

"Hujahan seperti 'Malaysia milik Melayu' memang satu penghinaan pada Hari Malaysia, namun dalam satu masyarakat demokrasi yang matang harusnya menerima semua pendapat termasuklah hujah-hujah perkauman.

"Bagaimanapun, tidak boleh ada unsur keganasan atau kekerasan. Maka jika Umno dapat melaungkan 'ketuanan Melayu' dalam keadaan tidak mengamuk, ini semestinya satu pencapaian yang besar dalam politik Malaysia sejak tahun 1969," kata Wong.

Sementara Phoon pula berpendapat tidak harusnya ada unsur perkauman dalam apa-apa himpunan, seperti tidak boleh ada keganasan dan kekerasan.

"Apa yang kita tuntut adalah perhimpunan aman, maka tidak patut ada keganasan. Selain itu, himpunan kamu tidak boleh menyebarkan unsur rasis atau kebencian antara kaum," jelas Phoon.

Tiada ulasan: