Khamis, 20 Mac 2014

Semak semula permohonan program bantuan rumah

ANIS NAZRI 


KUALA LUMPUR: PAS mencadangkan agar kerajaan membuat semakan semula terhadap tahap garis kemiskinan yang dijadikan syarat permohonan bagi Program Bantuan Rumah.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata tahap garis kemiskinan yang ditetapkan perlu disemak semula bersesuaian dengan keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Isu perumahan atau skim bantuan ini bertujuan untuk mengurangkan kadar kemiskinan, namun isu yang dihadapi sekarang ialah garis kemiskinian bagi mereka yang layak memohon.

"Dimaklumkan, syarat sebelum ini RM1,000 bagi pemohon luar bandar dan di bandar sebanyak RM1,500. Dalam keadaan hari ini kadar ini perlu dirujuk kembali, adakah kerajaan berhasrat untuk menyemak semula kadar ini?" soal beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan sentiasa prihatin dengan keperluan untuk membuat semakan semula terhadap syarat-syarat permohonan program tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kepada Khairuddin, menurut rekod 2013, sebanyak 21,645 permohonan bagi semenanjung, manakala 12,430 bagi Sabah dan 18,360 permohonan bagi Sarawak menerima faedah dari program tersebut.

Sebelum itu, Khairuddin dalam soalan asalnya meminta kementerian menyatakan jenis-jenis dan harga rumah yang ditawarkan di bawah Program Bantuan Rumah itu.

Terdapat tiga jenis rumah yang dimasukkan di bawah program itu, iaitu rumah teres setingkat, teres dua tingkat dan rumah berkembar, yang membabitkan kos sebanyak RM40,000 sebuah di Semenanjung, dan RM50,000 untuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kesemua kos tersebut meliputi sebanyak RM55,233,000 bagi Semenanjung, RM68,446,000 bagi Sabah dan RM55,572,000 bagi Sarawak.

Tiada ulasan: