Rabu, 12 Mac 2014

Selangor jimat RM2 bilion jika Putrajaya paksa ambilalih air melalui WSIA

OLEH MOHD FARHAN DARWIS

Kerajaan negeri Selangor menyatakan persetujuan berhubung tindakan Putrajaya untuk menggunakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi pengambialihan syarikat konsesi air kerana ia membolehkan Selangor mandapatkan penjimatan sehingga RM2 bilion.

Tawaran asal bagi pengambil alihan empat syarikat konsesi air di Selangor adalah RM9.65 bilion, namun melalui Seksyen 114 WSIA 2006, Selangor hanya perlu membayar syarikat konsesi sebanyak RM7.65 bilion.

"Dengan cara ini kita mempunyai penjimatan sebanyak RM2 bilion.

"Jadi kita tiada halangan untuk bersetuju dengan perkara ini," kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) kepada pemberita ketika sidang media selepas Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Shah Alam hari ini.

Khalid berkata, Perjanjian Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan berkenaan air pada 26 Februari lalu juga akan didedahkan kepada umum.

"Kini, MoU ini di bawah tanggungjawab Dewan Negeri Selangor yang mana orang awam yang berminat untuk meneliti dokumen itu boleh membuat permohonan sejajar dengan Enakmen Kebebasan Maklumat.

"Bagaimanapun MoU ini tidak boleh diterbitkan semula dalam apa jua bentuk," kata Khalid.

Kerajaan Persekutuan dalam satu kenyataan semalam berkata, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air (KeTTHA) akan menggunakan undang-undang bagi memudahkan kerajaan negeri Selangor melaksanakan cadangan pengambilalihan industri perkhidmatan air.

Menterinya, Datuk Seri Maximus Ongkili turut mengulangi komitmen beliau untuk menjadi pemudah cara bagi membantu tujuan berkenaan.

"Kerajaan negeri Selangor mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan KeTTHA kerana bersetuju memudah cara penstrukturan semula industri air negeri selepas respon negatif syarikat konsesi terhadap tawaran kerajaan negeri," kata menteri besar itu lagi.

Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), anak syarikat kerajaan negeri telah mengemukakan tawaran rasmi berjumlah RM9.65 bilion kepada syarikat-syarikat konsesi pada 26 Februari lalu.

Namun hanya satu syarikat iaitu Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) yang menerima tawaran berkenaan sebelum tempoh tawaran berakhir pada jam 5 petang semalam (11 Mac).

Ekoran perkara itu, Khalid berkata, hanya ABASS yang akan menerima kelebihan dalam pengambil alihan syarikat konsesi seperti perjanjian awal, manakala tiga lagi syarikat iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) akan menerima pampasan mengikut terma baharu.

"ABASS akan dapat apa sahaja yang kami tawarkan," kata Khalid.

Khalid turut memberikan komitmen penjimatan berkenaan akan digunakan pentadbirannya sebaik mungkin untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan air kepada lebih tujuh juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya.

Khalid turut berkata, proses pengambilalihan kesemua syarikat konsesi itu juga hanya akan mengambil masa kurang dari tempoh tiga bulan.

"Usaha utama kita adalah untuk mengurangkan air tidak berhasil (NRW) menerusi penggantian paip sedia ada dengan gentian optik, dan penubuhan Radar Penembusan Tanah (GPR) untuk mengesan kebocoran dalam sistem pengagihan bawah tanah," katanya.

Mengulas berkenaan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2, Khalid berkata projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh antara 24 sehingga 28 bulan lagi.

"Arahan pembangunan sudah dikeluarkan, kita akan ada satu pasukan bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Jangkaan siap dalam masa 24 hingga 28 bulan, dan air terawat daripada loji akan mula berlaku sekurang-kurangnya 36 bulan daripada sekarang," katanya lagi. –

Tiada ulasan: