Adalah benar masjid Kampung Limbongan dan Kampung Raja diceroboh dan kitab sucinya al-Quran dicampak-campak hingga ke jamban satu pengkhianatan terhadap Allah, Islam dan umat Islam, tetapi ia adalah Allah kepada umat Islam yang mencuaikan ajarannya.
Tidak berlaku al-Quran dikoyak, dicampak di merata hingga ke mangkuk tandas jika tidak dengan izin Allah.
Naskah aI-Quran adalah kitab Allah dan masjid adalah rumah Allah. Semuanya kepunyaan Allah, mulia lagi suci. Sepatutnya Allah lindungi keselamatannya daripada dicemari dan dicerobohi.
Tetapi kita telah saksikan ada makhluk yang mendiami negara kita, khususnya di Besut dan di Kesultanan Terengganu, tidak takut kepada Allah dan Islam melakukan apa yang telah berlaku.
Kita boleh serah kepada polis untuk bertindak dan mungkin si bedebah dapat dihukum. Tetapi berpuas hatikah umat Islam dengan mengutuk dan memburu sekalian pengkhianat bedebah itu?
Yang melakukan itu adalah bedebah yang khianat. Kaki mereka terdorong ke situ dan tangan mereka didorong membaling dan mengoyak rabak kitab-kitab suci sehina itu. Yang mendorongkan semuanya adalah Allah dan yang terjadi adalah dengan izin Allah.
Mengapa?
Allah hanya pelihara ayat-ayat suci-Nya tetapi tugas menjaga naskah kitabnya dan rumah-Nya adalah kerja umatnya. Allah tidak jaga kitab dan rumah ibadat yang tidak dijaga oleh umatnya.
Yang terjadi di dua kampung itu adalah amaran Allah kepada Islam di negara ini, bukan sekadar untuk Besut dan Terengganu, tetapi ingatan kepada rakyat Yang Dipertuan Agung, kerajaan Barisan Nasional dan penyokongnya adakah masing-masing sudah menjaga keselamatan kandungan dan ajaran kitabya dan rumah ibadat-Nya?
Kaabah adalah rumah Allah yang paling dekat dengan hati Allah dan jauh suci dan mulianya dari dua buah masjid di Besut. Masjid dan naskhah al-Quran itu dibina dan dibeli kerajaan dan rakyat yang belum tentu suci duit dan niatnya jika dibandingkan suci dan mulianya niat Nabi Ibrahim dan puteranya Ismail membina Kaabah.
Betapa penganut agama Nabi Ibrahim tidak memelihara keselamatan Kaabah, Allah izin ia dicemari dengan terdirinya ratusan berhala memenuhi persekitaran Masjidil Haram. Kaabah dilihat kecil dibandingkan dengan berhala yang banyak. Ia adalah tempelak Allah kepada umat selepas baginda.
Allah tidak pelihara segala kitab Islam yang tidak dijaga oleh penduduk Baghdad apabila datang tentera Tartar melandar pusat pentadbran empayar Islam itu. Hingga bangun satu generasi dari bekas pnceroboh Tartar dan umat Islam Iraq membebaskan agama Allah itu.
Allah tidak menjaga Baitul Maqdis dari dilanda tentera salib dan Yahudi Israel kerana umat Islam tidak menjaga keselamatan agamanya dan wilayahnya.
Fitnah yang melanda Masjid Limbongan dan masjid di Kampung Raja adalah amaran awal kepada Islam Malaysia apakah mereka sudah memelihara ajaran dan al-Quran dan Sunnah Nabi-Nya bagi menyelamat Islam dan umatnya di Malaysia.
Tidakkah umat Islam terfikir sebelum naskah al-Quran dan surah Yassin itu disumbat ke mangkuk tandas, kerajaan dan umat Islam selepas merdeka telah mencampakkan terlebih dulu ajaran al-Quran ke lantai dan mangkuk jamban.
Kita jangan tengok kitab suci itu dicampak ke jamban saja, tetapi kita kena insaf akan ajaran al-Quran dicampak ke situ lebih dulu. Jika kita tidak betulkan kerajaan dan umat dengan ajaran al-Quran yang betul, maka jangan terkejut jadi macam nasib Pattani yang pernah menyumbang para ulama masyhur di nusantara, kini menjadi wilayah naungan bukan Islam.
Laporan polis tidak menjamin kemuliaan al-Quran tetapi mendaulatkan ajarannya yang menjamin keselamatannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan