Khamis, 20 Mac 2014

Putrajaya janji hormati MoU air dengan Selangor, kata Maximus

OLEH MD IZWAN

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (gambar) memberi jaminan Putrajaya akan menghormati Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri Selangor selepas dituduh Pakatan Rakyat (PR) mengkhianati perjanjian tersebut.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu berkata akan memastikan syarikat konsesi air tersebut diambil-alih selepas tawaran awal bernilai RM9.65 bilion ditolak.

"MoU itu kukuh dan kami akan hormati kandungannya... Saya akan pastikan ia dilaksanakan," kata Maximus dalam sidang media selepas merasmikan Pameran ASIAWATER 2014 di Kuala Lumpur.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid semalam mendesak kerajaan pusat supaya menggunakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi mengambil alih tiga lagi syarikat konsesi air selepas tawaran kerajaan negeri ditolak.

Maximus bagaimanapun berkata untuk menggunakan akta tersebut, beberapa prosedur perlu dipatuhi terlebih dahulu.

"Itu janji saya, tapi kamu tidak boleh tergesa-gesa sehinggalah proses undang-undang dipatuhi terlebih dahulu," kata beliau.

Tiada ulasan: