Selasa, 4 Mac 2014

PR mesti tunjuk komitmen, perpaduan untuk menang besar di Kajang – Kit Siang


lks (3)



PULAU PINANG,: Semua parti komponen Pakatan Rakyat (PR) iaitu PKR, PAS dan DAP perlu menunjukkan komitmen dan perpaduan untuk membolehkan parti mencapai kemenangan bersejarah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, 23 Mac ini.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PRK Kajang adalah penting untuk PR menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang mungkin diadakan pada 2018, 2016 atau 2017 nanti.

“Ia penting bagi Pakatan Rakyat menunjukkan perpaduan yang tidak pernah berlaku sebelum ini jika mahu mencapai kemenangan bersejarah di Kajang nanti.

“Tambahan pula terdapat satu plot serius dibuat UMNO/BN untuk mensabotaj pencalonan Anwar pada PRK Kajang, 11 Mac ini,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Penghargaan DAP untuk ahli veteran DAP Pulau Pinang lebih 30 tahun di Restoran Star View, Pulau Pinang, Ahad lalu.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, parti komponen PR mesti mensasarkan kemenangan dengan majoriti besar melebihi pencapaian calon PKR pada PRU-13 lalu, Lee Chin Cheh dengan majoriti 6,824 undi.

“DAP komited mendapatkan setiap undi untuk Anwar di Kajang dan penduduk Kajang mesti bersuara bagi pihak 30 juta rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama atau wilayah dan berdiri teguh di belakang Anwar dan Pakatan Rakyat untuk perubahan di Malaysia bagi memastikan keamanan, keharmonian, keadilan, kebebasan, tadbir urus yang baik dan kemakmuran negara dan rakyat Malaysia dicapai,” tambahnya.

Pagi kelmarin, Kit Siang bersama pemimpin PR, termasuk Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli hadir ketika melancarkan pusat operasi DAP bagi PRK Kajang, 23 Mac ini.

“Tiga hari lalu, saya memberi peringatan supaya PR mengelak daripada perpecahan dalaman kerana yang boleh menghalang Anwar menang besar di Kajang ialah pilihan raya tidak bebas.

“Bagaimanapun saya gembira kerana peringatan saya itu sudah diberi perhatian baik oleh semua pihak dalam PR.

“Walaupun perselisihan faham adalah perkara biasa dalam parti, masalah dalaman perlu diketepikan untuk mencatat kemenangan besar di Kajang demi rakyat dan negara,” ujarnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: