Sabtu, 1 Mac 2014

Operasi buru Pati berniaga bermula malam ini

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


ALOR GAJAH - Operasi bersepadu memburu pendatang asing tanpa izin (Pati) menjalankan perniagaan dengan menggunakan permit milik rakyat tempatan akan bermula malam ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata operasi melibatkan Jabatan Imigresen, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) itu bagi memastikan masalah peniaga warga asing tanpa izin ditangani sepenuhnya.

"Rata-rata rakyat rasakan peluang perniagaan mereka sudah direbut dan dirampas oleh pendatang asing.

"Saya ingin memberitahu bahawa rakyat Malaysia (yang sewakan atau jual permit) juga perlu disalahkan...jangan sewakan lesen, jangan jual lesen kerana lesen itu diberi kepada warganegara Malaysia untuk kerajaan bantu mereka meningkatkan taraf kehidupan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Rakyat anjuran Umno Bahagian Masjid Tanah di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Ahmad Zahid berkata beliau dimaklumkan kawasan perniagaan seperti di Chow Kit, Jalan Silang dan Pasar Keramat di ibu negara banyak diusahakan oleh PATI.

Katanya serentak dengan operasi itu, PBT di seluruh negeri diminta menjalankan semakan lesen setiap tahun terhadap premis-premis perniagaan bagi memastikan ia tidak disalahgunakan.

"PBT harus semak pemberian lesen setiap tahun, jika lesen benar-benar digunakan oleh rakyat tempatan, berikan penyambungan tetapi kalau didapati lesen berkenaan dijual atau disewakan kepada pendatang asing ia hendaklah ditarik balik," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: