Sabtu, 1 Mac 2014

Melaka catu air selepas 29 Mac jika kemarau berterusan

HARAKAHDAILY 


 ALOR GAJAH: Melaka hanya akan melakukan catuan bekalan air selepas 29 Mac depan sekiranya keadaan cuaca kering berterusan dalam tempoh sebulan ini.
  
Ketua Menterinya Datuk Seri Idris Haron berkata paras air di tiga empangan iaitu di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah; Jus dan Asahan di Jasin kini masih mampu menampung keperluan pengguna di negeri itu.
  
Beliau berkata ketika ini, air di Empangan Durian Tunggal berada pada paras 65.2 peratus, Jus (61.8 peratus) dan Asahan (76.1 peratus).
  
"Tahap air di empangan ini memberi jaminan bahawa kita boleh bertahan sehingga 29 Mac tanpa hujan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Empangan Durian Tunggal di sini hari ini.
  
Katanya kerajaan negeri turut mengambil langkah menyalurkan air mentah dari beberapa kolam tadahan selain air Sungai Muar dan Gerisik, Johor ke empangan terbabit sekali gus mampu membekalkan 105 juta gelen air sehari kepada pengguna.
  
Dalam pada itu, Idris berkata kerajaan negeri merancang mewujudkan perigi tiub di setiap 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai persiapan menghadapi musim kemarau pada masa depan.
  
Beliau berkata pada masa ini, Melaka mempunyai pelan kontigensi bekalan air yang mampu bertahan sehingga tempoh tiga bulan sekiranya berlaku musim kemarau.
  
"Dengan pembinaan perigi tiub ini, kita menjangkakan bekalan air mampu bertahan sehingga tempoh enam bulan dalam musim kemarau," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: