Dr Azman (tengah) bersama ahli PAS Cawangan Tok Dor Luar.
HARAKAHDAILY
SETIU: Setelah sekian lama, Kampung Tok Dor Luar menjadi simpanan tetap Umno Jabi, semalam (28 Februari) menyaksikan sejarah baru tercatat dalam politik setempat.
Sebuah cawangan baru berjaya ditubuhkan menjadi cawangan bongsu PAS yang ke-24 dalam Dun Jabi.
Berucap merasmikan penubuhan cawangan baru yang diberi nama PAS Cawangan Tok Dor Luar, Pengarah MTD Jabi, Dr Azman Ibrahim menegaskan, di dalam suatu gerakan, kita ibarat satu ikatan lidi penyapu.
“Bukan semua sama panjang saiznya dan bukan semua akan kena sampah bila disapu, tapi semua lidi adalah penting dalam ikatan tersebut.
"Dalam mana-mana organisasi apatah lagi organisasi dakwah, tarbiyah dan politik seperti PAS, ada 4 kelompok ahli dan penyokong,” katanya.
Jelasnya, mereka yang ada idea, ada pendapat serta boleh melaksanakan kerja tetapi bilangannya tidak ramai.
“ Mereka yang tahu memberikan idea dan pendapat, tapi kerja tak pandai buat. Tak apa. Anda dialu-alukan untuk terus memberikan idea.
“ Orang yang tak ada idea dan pendapat tapi tunggu pendapat dan idea orang lain untuk buat kerja. Beri arahan saja mereka akan laksanakan,” ujarnya.
Tambahnya, orang yang tidak tahu membuat kerja serta tidak ada idea dan pendapat.
“Tak apalah, anda sama-sama bantu memeriahkan medan perjuangan ini.
“Hakikatnya, tiada siapa yang terpinggir dalam perjuangan ini. Semua kita adalah penting," tegas beliau.
Program yang berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 40 orang ahli dan penyokong PAS setempat telah membuka mata ramai orang bahawa sebenarnya PAS mempunyai kekuatan tersendiri di situ.
Semua yang hadir terdiam terharu apabila ketua cawangan PAS yang baru ini, mesra dikenali sebagai Din Telefon mengumumkan, beliau mewakafkan sebahagian dari tanah miliknya untuk didirikan sebuah surau yang akan berperanan sebagai Markas PAS Cawangan.
Turut hadir adalah anggota-anggota Dewan Harian MTD Jabi terdiri dari Ustaz Ismail Awang Teh selaku penasihat, Ustaz Zulbhari Abdul Rahman, Timbalan Pengarah, Sudin Awang, Setiausaha, Abdullah Hemzah, Bendahari, Rafei Long Hassan, Ketua Pemuda Dun dan Norisabri Ismail sebagai Penolong Setiausaha Dun
Tiada ulasan:
Catat Ulasan