Selasa, 11 Mac 2014

Kes Marina Mahathir Saman Isma Disebut Mei Depan

alt
 
RAKYAT NEWS
 
 
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan empat hari, 15-16 Mei dan 22-23 Mei untuk perbicaraan kes saman aktivis sosial Datin Paduka Marina Tun Dr Mahathir terhadap Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan 15 anggota jawatankuasa (AJK) pertubuhan itu.
 
Kes saman itu berhubung pernyataan yang didakwa berunsur fitnah mengaitkan Marina dengan aktiviti Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia (Comango).
 
Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas bertemu peguam Muhammad Faizal Faiz Mohd Hasani yang mewakili Marina dan peguam Azad Bashir, yang mewakili kesemua defendan.
 
Azad memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 15 April untuk pengurusan kes.
 
Sementara itu kesemua defendan dalam pernyatan pembelaan mereka menafikan menerbitkan pernyataan fitnah terhadap Marina.
 
Kesemua defendan itu berkata laman web di http://www.ismaweb.net dan laman web facebook di http://www.facebook.com/isma.malaysia bukan kepunyaan Isma.
 
Pada 16 Januari lepas, Marina yang juga anggota Lembaga Pengarah Sisters in Islam (SiS) menamakan Presiden pertubuhan itu Abdullah Zaik Abd Rahman, Timbalan Presidennya Aminuddin Yahaya dan Naib Presiden Abdul Rahman Mat Dali serta 13 AJK pertubuhan itu sebagai defendan.
 
Dalam pernyataan tuntutannya, Marina mendakwa Isma mengedarkan 70,000 risalah bertajuk 'Antara 54 NGO dalam Comango' di masjid-masjid sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur, Shah Alam, Putrajaya, Seremban, Samarahan (Sarawak), Melaka, Kuantan dan Kuala Terengganu pada 8 November tahun lepas.
 
Bekas pengerusi Yayasan Aids Malaysia (MAF) itu mendakwa Isma juga menerbitkan artikel lain bertajuk "ISMA edar 70,000 risalah dedah dalang Comango" dalam laman web Isma di http://www.ismaweb.net dan Facebook di https://wwww.facebook.com/isma.malaysia pada tarikh yang sama (8 November).
 
Beliau mendakwa pernyataan-pernyataan fitnah itu membawa maksud bahawa beliau dikaitkan dalam aktiviti Comango, terlibat secara peribadi dalam laporan yang diterbitkan Comango dan menjadi dalang di sebalik Comango serta tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
 
Oleh itu Marina menuntut ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, injunksi untuk menghalang kesemua defendan daripada menerbitkan semula pernyataan fitnah itu dan permohonan maaf daripada kesemua defendan berserta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Tiada ulasan: