Khamis, 20 Mac 2014

KDN akui video Teresa Kok tidak perlekehkan PM, sensitiviti agama Islam


1982172_761495477194909_1287312468_n



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui bahawa dalam video ‘Onederful Malaysia’ beliau tidak memperlekehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menyentuh sensitiviti agama Islam.

Katanya, ini adalah susulan kenyataan salah KDN mengenai isu tawaran menampar Teresa Kok secara rasmi berhubung perkara itu.

Katanya, penjelasan rasmi yang diterima beliau itu dikeluarkan Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 19 Mac dan mengakui bahawa jawapan yang diberi pihak KDN hanya merujuk kepada kenyataan dan laporan yang dibuat pihak NGO Islam.

Menurut Teresa Kok yang juga Naib Presiden Kebangsaan DAP, surat itu diterima selepas membuat desakan terhadap kementerian agar memperbetulkan jawapan yang diberi kepada Parlimen awal minggu lalu.

“Sudah tentu ini bukan permintaan yang kita tuntut tetapi saya tetap gembira apabila Timbalan Menteri Dalam Negeri sudah membuat pembetulan dan menjelaskan kekeliruan itu.

“Saya menerima jawapan itu dan tidak akan bentang sebarang usul untuk membawa Timbalan Menteri itu ke Jawatankuasa Parlimen,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Berikutan itu, beliau berharap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasrah dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokthar Radin juga berbuat demikian sebagaimana tindakan kementerian itu yang berani mengakui kesilapan.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran pula berkata, Pakatan Rakyat (PR) menghantar satu usul untuk membawa dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen gara-gara serangan ke atas Teresa Kok berhubung isu video berkenaan.

Katanya, serangan dan tuduhan dua Ahli Parlimen terbabit adalah tidak berasas sama sekali kerana jelas video itu langsung tidak menyentuh mengenai agama, pemerintah dan mengambil kesempatan terhadap insiden di Lahad Datu.

Pada Persidangan Dewan Rakyat 17 Mac lalu, Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Parlimen Lenggong menuduh Teresa Kok bahawa video itu mengundang keadaan tidak baik di kalangan rakyat dan menyentuh soal sensitiviti agama Islam.

Ahli Parlimen berkenaan juga mendakwa Teresa Kok menghancurkan perpaduan kaum dalam negara dengan bertindak menyiarkan video terbabit.

“Berikutan itu saya sudah menghantarkan usul kepada sidang Dewan Rakyat bagi kedua-dua Ahli Parlimen itu dibawa ke Jawatankuasa Hak dan kebebasan.

“Saya juga mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berdebat mengenai usul berkenaan,” katanya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: