Selasa, 4 Mac 2014

Isu MoU: Anwar akan respons selepas MB temui SPAN


Isu MoU: Anwar akan respons selepas MB temui SPAN Anwar menjawab soalan pemberita pada Majlis Mesra Bersama Media di Pusat Media PKR di sini, hari ini.


KAJANG - Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan mencampuri pertikaian  kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) sambil menyerahkannya perkara tersebut kepada Menteri Besar.

Katanya beliau hanya memberi maklum balas perkara tersebut selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadakan perjumpaan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), esok.

"Saya bukan orang yang sesuai untuk menjawab isu ini. Lebih baik kita tunggu penjelasan Abdul Khalid supaya masalah ini dapat diselesaikan.

"Tetapi secara dasarnya, saya tidak ada masalah dengan MoU ini. Ini kerana ia melibatkan kepentingan rakyat Selangor," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Mesra Bersama Media di Pusat Media PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini yang menyifatkan perjanjian yang dimeterai itu sebagai berat sebelah.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan tindakan Rafizi mengkritik dan memberi pandangan berbeza berkenaan MoU itu tidak menjadi kesalahan dan tidak perlu dikenakan sebarang tindakan disiplin parti.

"Rafizi berhak memberikan kenyataan yang ditimbulkan dalam bentuk persoalan. Malah, beliau sudah memaklumkan perkara ini kepada saya terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan dan saya tiada sebarang masalah.

"Bagi saya, hal berkaitan MoU ini sudah selesai. Namun, jika ada beberapa sebab untuk melihat semula MoU tersebut, kita terbuka untuk menasihati kerajaan persekutuan," katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga calon PKR di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang berkata, isu MoU juga tidak akan memberi kesan negatif kepada kempen beliau.

Rabu lalu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor menandatangani MoU untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu yang telah berlanjutan sejak 2008.  

Melalui MoU itu, kerajaan negeri Selangor akan membenarkan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 diteruskan.

Tiada ulasan: