Jumaat, 14 Mac 2014

Bank Negara hilang RM300K, 8 didakwa esok

MALAYSIKINI


 
 
 
Lapan pekerja sebuah institusi kewangan akan didakwa di Mahkamah Sesyen George Town esok berhubung kes kehilangan wang tunai RM300,000 dari sebuah bilik pemprosesan wang di Bank Negara Malaysia (BNM) Pejabat Wilayah Pulau Pinang di George Town.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata polis telah mengambil keterangan daripada kesemua pekerja itu termasuk seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 26 hingga 34, yang ditahan secara berperingkat di sekitar Pulau Pinang pada Selasa dan semalam.

Beliau berkata polis telah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Setakat ini, katanya polis tidak membuat tangkapan lain dan wang yang hilang itu masih belum ditemui.

"Memang wang itu belum ditemui tetapi polis sudah tahu ia di mana dan apa yang mereka buat dengannya. Siasatan juga mendapati sebahagian wang itu telah digunakan untuk perbelanjaan, beri kepada orang dan membayar hutang," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Pada Khamis lepas, pengurus institusi kewangan itu membuat laporan polis berhubung kehilangan itu yang dipercayai berlaku sejak September lepas hingga minggu lepas.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata polis telah mengenal pasti beberapa kumpulan terdiri daripada lelaki warganegara Indonesia yang berusia antara 20 dan 40 tahun yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah Barat Daya dan Timur Laut di sini, sejak awal tahun ini.

Menurutnya polis kini giat memburu mereka dan menubuhkan sebuah pasukan khas untuk tujuan itu.

"Kumpulan terbabit menyasarkan kawasan perumahan baharu berikutan kebanyakan rumah belum dilengkapi pagar jeriji dan kelengkapan keselamatan. Lima kes direkodkan iaitu empat di Barat Daya dan satu di Timur Laut," katanya.

Terdahulu, Mazlan mengadakan program `High Policing' di rumah seorang wanita yang menjadi mangsa pecah rumah di Teluk Kumbar High, dekat George Town.

Dalam kejadian pada 15 Feb lepas, rumah wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Neoh, 67, dipecah masuk tiga lelaki pada kira-kira 1 pagi ketika beliau dan empat anggota keluarganya tidur.

"Mereka yang bersenjatakan parang dan pisau itu mengikat kami semua serta mengarahkan diam. Berdasarkan percakapan tiga lelaki itu, kami percaya mereka rakyat Indonesia. Sebaik mendapat wang tunai, kumpulan itu melarikan diri," katanya.

Neoh berkata beliau sekeluarga kerugian lebih RM10,000 selepas wang tunai yang disimpan dalam rumahnya dilarikan kumpulan lelaki terbabit.- Bernama

Tiada ulasan: