MALAYSIAKINI
Polis telah menemui keluarga kru pesawat Malaysia Airline untuk mencari petunjuk berhubung kehilangan pesawat tersebut pada 8 Mac lalu.
"Polis sedang mencari apa-apa maklumat yang boleh membantu usaha mencarinya. Ia adalah untuk membantu siasatan, bukan untuk mengambil tindakan (terhadap ahli keluarga)," kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ditanya sama ada ia bertujuan untuk mencari petunjuk tentang kemungkinan berlaku sabotaj, beliau berkata ia merupakan salah satu perkara yang disiasat oleh pihak polis.
"Ia adalah sebahagian daripada empat perkara yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara," katanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sedang menyiasat kemungkinan berlaku rampasan, sabotaj, masalah psikologi penumpang dan kru dan masalah peribadi penumpang dan anak kapal.
Penyataan Ahmad Zahid itu dibuat selepas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Datuk Hadi Ho Abdullah menafikan laporan Harian Metro yang memetiknya sebagai berkata bahawa rumah penumpang dan anak kapal, digeledah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan