Khamis, 10 Januari 2013

Unsur Sabotaj Isu Air : Hayat Mahu SPRM Siasat SPAN, SYABAS


Demo Depan Syabas 05

SHAH ALAM  : Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Air Untuk Rakyat (Hayat) mahu satu siasatan terperinci dijalankan terhadap Suruhanjaya Perkhidmatan Air (SPAN) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam isu krisis bekalan air di Ampang.

Presidennya, Arshad Ahmad berkata siasatan itu perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis bagi memastikan kejadikan bekalan air yang terputus itu bukan satu sabotaj yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang berniat untuk memburukkan Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, Syabas mendakwa lima pam air di Wangsa Maju rosak menyebabkan penduduk sekitar Ampang dan Cheras terputus bekalan air sejak dua minggu lalu.

“Kami tidak boleh terima alasan yang diberikan oleh Syabas kerana ia adalah tanggungjawab Syabas membuat perancangan dan pemantauan secara berkala.

“Kegagalan demi kegagalan kepada sistem Syabas dalam tempoh kebelakangan ini menimbulkan pelbagai tanda tanya contohnya kegagalan fungsi rumah pam Wangsa Maju dan rumah pam Pudu Hulu.

“Mengapa semua pam itu rosak? Adakah ia satu sabotaj dari mana-mana pihak untuk membangkitkan kemarahan rakyat seterusnya menyalahkan Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media selepas membuat satu bantahan aman terhadap Syabas di Wisma Rozali.

Kira-kira 50 penduduk di sekitar Ampang hadir mendesak Syabas menyelesaikan masalah itu.
Antara kawasan yang terlibat Taman Dagang, Taman Cahaya, Pandan Jaya, Taman Nirwana dan Ampang Mewah.

Tiada ulasan: