Rabu, 9 Januari 2013

Tubuh s'jaya bebas siasat pampasan ‘landasan maut’

Harakahdaily,
 
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mendesak kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat kes wang RM207 bilion pampasan buruh ‘landasan maut’ Siam-Burma yang dibayar kerajaan Jepun kepada Malaysia.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata siasatan perlu dibuat untuk mengenal pasti di mana dan ke mana wang itu telah dibelanjakan memandangkan buruh dan keluarga yang terlibat masih belum menerima sebarang bayaran dari kerajaan Malaysia.

“Saya dah sebut bahawa ia tidak diagihkan melalui Perbendaharaan.

“Saya seru Perdana Menteri, Najib Abdul Razak supaya melakukan siasatan bebas ke atas isu ini kerana RM207 bilion ialah satu jumlah yang besar. Beliau tidak boleh terus berdiam diri,” katanya yang juga bekas menteri kewangan.

Dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini, Nizar mendakwa, kerajaan Jepun telah membayar RM207 bilion kepada kerajaan Malaysia sebagai pampasan kepada buruh paksa pembinaan keretapi itu.

Namun sehingga kini, tidak ada sebarang wang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada mangsa atau waris mereka.

Dianggarkan seramai 72,000 rakyat Malaya pada ketika itu dikerah dan hanya 30,000 orang daripada mereka yang kembali ke Malaysia sementara selebihnya gagal dijejaki.

Mengikut rekod persatuan  Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam Burma 1942-1946, jumlah 30,000 buruh yang pulang semula ke tanah air itu melibatkan 60 peratus bangsa Melayu, 20 peratus India, 15 peratus Cina dan 5 peratus bangsa lain.

Nizar yang juga AJK PAS Pusat berkata, dengan jumlah RM207 bilion itu setiap keluarga dianggarkan layak menerima sehingga RM2.5 juta wang pampasan.

Sejak didaftarkan secara rasmi pada 11 Januari 2011, persatuan terbabit telah memohon beberapa kali untuk mendapatkan wang pampasan dari kerajaan Malaysia tetapi hingga kini masih gagal.

Tiada ulasan: