Oleh: Mohd Arif Juhani
Pengarah Guaman KEADILAN, Latheefa Koya berkata, saksi melihat
Sugumar Cheliah, 40 dikejar empat anggota polis menaiki dua kereta
peronda sebelum kejadian pembunuhan kira-kira jam 6 petang, semalam.
Selepas
diberhentikan, mangsa dibelasah sekumpulan individu berhampiran
rumahnya di Taman Seri Nanding, Hulu Langat dalam keadaan tangan
bergari dan ditekan dengan pengusung.
“Mangsa yang bergari turut dipukul beramai-ramai oleh orang
sekeliling tanpa halangan polis. Polis memijak tengkuk mangsa dan
menyapu muka mangsa dengan serbuk kunyit,” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan, Sugumar yang tiada rekod jenayah, turut dicampakkan ke bahu jalan dalam keadaan bogel, selepas kematiannya.
“Profesionalisme polis juga amat diragui kerana pasukan forensik
hanya datang selepas jam 11 malam untuk mengambil mayat,” katanya.
Menurut Latheefa, mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah
siasat, namun keluarganya tidak dibenar masuk ke bilik mayat untuk
membuat pengecaman selepas dimaklumkan lewat malam semalam.
“Keluarga mangsa datang awal pagi hari ini ke hospital namun selepas
pukul 2 petang barulah keluarga mangsa dan peguam dibenarkan masuk,”
ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mendesak polis yang terlibat dalam pembunuhan
itu ditangkap dan digantung tugas kerana insiden itu di bawah
tanggungjawab polis.
“Saya desak polis segera menangkap dan mendakwa semua yang terbabit
dalam pembunuhan ini. Insiden ini berlaku ditempat awam dan ramai saksi
melihat kejadian itu,” ujarnya kepada Keadilan Daily.
Timbalan Pengerusi Biro Hak Asasi dan Guaman KEADILAN, S. Jayathas
berkata kehilangan nyawa akibat kecuaian polis bukan isu baru kerana
rekod menunjukkan banyak orang awam mati di tangan polis.
“Polis gagal bertindak waras dengan mengenepikan undang-undang ketika
berhadapan suspek. Ini akibat kegagalan polis melaksanakan Suruhanjaya
Bebas Terhadap Salah Laku dan Aduan Polis (IPCMC),” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan