Khamis, 24 Januari 2013

Sosilawati ugut bunuh Pathmanaban?

KL TODAY

 

Tertuduh keempat dalam kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain hari ini berkata dia telah diberitahu oleh N.Pathmanabhan bahawa tiga lelaki, termasuk pemandu jutawan kosmetik itu dan seorang peguam yang dikatakan dibunuh dan dibakar di sebuah ladang di Banting, akan membunuh bekas majikannya jika mereka dibiarkan hidup.R.Kathavarayan, 32, berkata demikian ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff sama ada dia mengetahui punca kejadian itu berlaku.

“Awak tahu mengapa mereka dibunuh dan dibakar,” soal Ishak.

“Saya tidak tahu alasan sebenarnya tetapi saya telah diberitahu oleh Pathmanabhan,” jawab Kathavarayan.

“Apa Pathmanabhan beritahu kamu?” soal Ishak.

“Dia beritahu saya: “Jika saya (Pathmanabhan) biarkan mereka, mereka akan bunuh saya”. Kemudian dia beritahu saya (Kathavarayan) tidak akan faham,” jawab tertuduh keempat.

Kathavarayan diperintah membela diri di Mahkamah Tinggi di sini bersama Pathmanabhan, 44, T.Thilaiyalagan, 22, dan R.Matan, 23, atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil AbdulKarim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, JalanTanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30Ogos 2010.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam keterangannya sebelum ini, Kathavarayan berkata dia ternampak tiga lelaki, iaitu pemandu Sosilawati, seorang peguam dan seorang lagi yang tidak dicam wajahnya, terbaring di kawasan bersebelahan dengan longgokan kayu api diladang itu pada 31 Ogos 2010.

Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Pathmanabhan, Kathavarayan berkata dia menghormati dan takut dengan bekas majikannya itu kerana tahu apa akan dilakukan oleh Pathamanabhan sekiranya tertuduh pertama itu marah.

“Beritahu mahkamah apa perkara yang boleh menyebabkan Pathmanabhan marah,”soal Ishak.

“Biasanya dia akan marah sebab makanan, kalau tidak dengar cakap dia dan tipu dia. Saya pernah lihat dia marah polis trafik,” jawab tertuduh keempat.

Kepada soalan lain, Kathavarayan berkata dia ada memberikan sepasang sarung tangan kain selepas diminta oleh Pathmanabhan.

Tertuduh keempat berkata bekas majikannya itu telah menggunakan sarung tangan berkenaan ketika memandu sebuah kereta jenis BMW bernombor pendaftaranAAJ 5 keluar dari ladang pada malam 30 Ogos 2010.

Keterangan saksi di mahkamah sebelum ini mengesahkan bahawa kereta itu adalah milik Ahmad Kamil.
“Saya katakan tujuan Pathmanabhan pakai sarung tangan untuk  cop jari,” kata Ishak dan Kathavarayan menjawab “ya”.

Tertuduh keempat seterusnya memberitahu Pathmanabhan turut mengarahkan seorang lagi pekerja ladang, U.Suresh untuk memandu keluar sebuah lagi kereta jenis BMW bernombor pendaftaran WTL 11 dari ladang pada hari yang sama.

“Suresh ada beritahu saya Pathmanabhan suruh dia pergi parking kereta diluar dan tunggu Pathmanabhan di situ,” kata Kathavarayan.

Menurut keterangan saksi di mahkamah sebelum ini, kereta itu dinaiki oleh Sosilawati dan Kamaruddin pada hari mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos 2010.

“Semasa kereta WTL 11 keluar dari ladang dan kereta AAJ 5 dipandu Pathmanabhan keluar, di mana Sosilawati, pemandunya, peguam dan banker itu?” soal Ishak.

“Ada di bahagian belakang ladang,” jawab tertuduh keempat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung Jumaat ini.

Tiada ulasan: