Selasa, 15 Januari 2013

Siasat serbuk lada diperoleh di penjara

Wartawan Sinar Harian

KEPALA BATAS - Polis akan bertemu pihak Penjara Pulau Pinang untuk menyiasat serbuk lada yang didakwa diperoleh dari pusat tahanan berkenaan sebelum disemburkan kepada empat anggotanya hingga membolehkan sembilan tahanan diiring meloloskan diri dalam kejadian Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pertemuan itu akan diatur dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan selepas soal siasat tahanan yang berjaya diberkas semula kelmarin memberitahu mereka memperoleh serbuk lada itu daripada kakitangan penjara.

“Pertemuan yang kemudiannya diikuti dengan siasatan menyeluruh penting dalam kes ini kerana serbuk lada itu dikatakan menjadi punca kejadian selain kecuaian kakitangan kita yang tidak mengikut ‘standard’ mengiring orang salah.

“Kecuaian boleh berlaku di mana-mana dan langkah terbaik untuk mengatasinya ialah membendung segera penyeludupan masuk atau keluar terutamanya bahan berbahaya yang boleh digunakan sebagai senjata oleh pesalah,” katanya pada sidang media harian sempena Ops Kesan Gelugor di Ibu Pejabat Polis Daerah, Seberang Perai Utara, semalam.

Abdul Rahim berkata, pihaknya tidak akan melindungi anggota terlibat jika siasatan mendapati mereka cuai ketika menjalankan tugas semasa kejadian itu.

“Kita membuka kertas siasatan bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana cuai membiarkan tahanan lari dari kurungan dan jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Dalam hal ini kita tidak bertolak ansur kerana syarat dan ketetapan mengiring orang salah sepatutnya diikuti sejak tahanan itu dibawa keluar dari penjara untuk sebarang prosiding di mahkamah,” katanya.

Tiada ulasan: