Khamis, 3 Januari 2013

Siasat kehilangan Wang Ehsan

Rizal Tahir,



(Orang ramai yang berdemo depan pejabat JPP Kota Bharu)

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan didesak agar menuntut pihak Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), menyiasat dan membentangkan Laporan Kewangan Jawatankuasa Wang Ehsan Kelantan, kepada rakyat negeri ini.

Ini berikutan adanya laporan, sejumlah RM12.3 juta telah lesap dari akaunnya.

Justeru itu, satu memorandum telah dihantar oleh Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti), kepada pihak JPP, tengah hari tadi, di bangunan JPP Kota Bharu.

“Ini memorandum kali ke dua dari pihak kami kepada JPP bagi membentangkan laporan kewangan wang ehsan yang lesap sebanyak RM12.3 juta,” kata Presiden Royalti, Nazri Deraman dalam  sidang medianya, selepas menyampaikan memerandum kepada wakil JPP, di sini.

“Pihak kami juga dapat tahu, sebanyak RM2 juta dari wang royalti minyak yang dijadikan sebagai wang ehsan di negeri ini telah disalurkan kepada Umno bahagian negeri Kelantan.

“Walaupun menurut maklumat dari Kerajaan Persekutuan bahawa wang ehsan ini digunakan sebagai peruntukan membina kemudahan infra, namum begitu ianya digunakan oleh pihak JPP dan Umno bahagian sesuka hati mereka bagi kepentingan mereka,” ujarnya.

Bermula tahun 2010, jumlah sebenar wang ehsan yang disalurkan kepada JPP sentiasa berubah-rubah.

Perbezaan ini dapat dilihat melalui kenyataan dari Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Husin, iaitu peruntukan sebanyak RM49.1 juta.

Manakala menurut kenyatan yang dibuat Datuk Mustapha Mohamed dan juga Perdana Menteri peruntukannya sebanyak RM61.4 juta.

“Telah terbukti jumlah sebenar wang ehsan berubah dan terdapat penyelewengan yang ketara yang berlaku kerana perbezaaan yang ketara iaitu sebanyak RM12.3 juta,” tegasnya.

Katanya lagi, pihak Royalti akan mengambil tindakan ke peringkat yang lebih tinggi sekiranya JPP mengambil sikap mendiamkan diri sehingga ke peringkat antarbangsa.

Sementara itu, pihak Royalti juga meminta agar JPP ditutup kerana kerajaan negeri yang ada sekarang ini ialah kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui demokrasi sejak tahun 1990.

Adalah satu percabulan kepada semangat persekutuan iaitu menghormati kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan apabila JPP ditubuhkan.

Dalam himpunan bagi menyampaikan memorandum berkenaan, beberapa pihak yang mewakili kumpulan masing-masing telah menyampaikan ucapan, antaranya wakil mahasiswa, wakil kaum wanita Kelantan dan wakil anak muda Kelantan.

Memorandum berkenaan telah disampaikan oleh Nazri Deraman sebagai Presiden Royalti kepada Penolong Pengarah (Khas) JPP, Mohd Hanif Aiman Mohd Anuar Musardar.

Tiada ulasan: