Selasa, 22 Januari 2013

Sekat masuk Felda: Anak fail saman pemula

Hazayani Zakaria,


KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan memfailkan saman pemula memohon satu pengisytiharan bahawa tindakan Felda melarang sebarang ceramah politik diadakan di tanah rancangan adalah tidak sah.

Peguam Anak, Mohd Harris Abdullah berkata, tindakan menghalang itu bercanggah dengan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Dalam Fasal 9 Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak, undang-undang itu menyebutkan, ‘Tiada seorang pun warganegara boleh dibuang negeri dari atau ditahan masuk ke Persekutuan’.

"Kita sebagai rakyat Malaysia berhak untuk bergerak bebas di mana-mana bahagian Persekutuan," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Difahamkan, tindakan melarang program Pakatan Rakyat di Felda adalah bersandarkan kepada Seksyen 34 Akta Group Settlement Area (GSA) yang kononnya memperuntukkan kuasa pengurus rancangan.

Di bawah Seksyen 34. 2 (b) menyebutkan: “that upon such declaration being made, the area shall vest in the development authority” iaitu bahawa apabila perisytiharan dibuat, kawasan itu hendaklah terletak hak pada pihak berkuasa pembangunan.

Namun Harris berkata, Felda hanyalah agensi yang menguruskan tanah yang tertakluk kepada kerajaan negeri.

"Jadi Felda tidak ada hak untuk menghalang mana-mana pihak untuk masuk ke Felda," tegasnya.

Justeru saman pemula itu akan difailkan Isnin depan di Mahkamah Tinggi Kuantan dengan menamakan Pengurus Pejabat Felda Jengka 12, Mohd Yazid Abdullah dan Penolong Pengurus Besar Komoditi wilayah Jengka yang mengeluarkan arahan sekatan itu.

Sementara itu, Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, sekatan ke atas mereka untuk masuk ke Felda semakin melampau sejak Faizol ahmad mengambil alih jawatan Penagrah Besar Felda.

"Sekarang ini kita nak buat majlis di rumah ahli sendiri pun disekat. Tapi kalau program Umno boleh sahaja dibuat di Felda," katanya.

Tiada ulasan: