Jumaat, 11 Januari 2013

Saya disoal sebagai seorang saksi sahaja dan bukannya sebagai suspek - pembantu khas PKR

Zainal Abidin Saad

Saya adalah pembantu khas Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang.

Saya merujuk kepada laporan-laporan media baru ini yang merujuk kepada penahanan saya oleh SPRM atas satu dakwaan korupsi bagi kononnya menutup aduan gangguan seksual terhadap seorang pegawai tinggi.

Saya amat terkejut kesemua laporan media tersebut adalah lebih memfokus terhadap saya sebagai pembantu khas Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang. Saya dengan ini ingin menegaskan seperti berikut:-

1) Saya tidak terlibat dalam apa-apa transaksi untuk menutup mana-mana aduan gangguan seksual dan tidak memberi mahupun menerima apa-apa wang atau ganjaran bagi tujuan menutup aduan gangguan seksual tersebut;

2) Pihak SPRM telah menangkap saya dan telah ditahan semalaman dalam lokap SPRM sebelum disoal siasat. Pada setiap masa siasatan, saya dirujuk dan disoal sebagai seorang saksi sahaja dan bukannya sebagai suspek atau pesalah;

3) Siasatan berkenaan dakwaan korupsi untuk menutup aduan gangguan seksual tersebut adalah melibatkan Bekas Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah dan tidak melibatkan mana-mana pimpinan parti dari Pakatan Rakyat mahupun melibatkan Timbalan Ketua Menteri (I).

4)Memandangkan terdapat niat jahat serta kecenderungan berbaur politik dalam laporan-laporan akibat penangkapan saya yang telah menjatuhkan imej saya serta imej pimpinan parti saya, maka saya telah mendapatkan nasihat guaman dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang meneruskan fitnah terhadap saya tanpa sebarang justifikasi.

Sekian penjelasan saya.

Zainal Abidin bin Saad
Pembantu Khas
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

Tiada ulasan: