Selasa, 22 Januari 2013

Saksi terakhir kes Kugan akui lihat mangsa dipukul

TERKINI

KUALA LUMPUR-- Saksi terakhir dalam kes tuntutan kematian dalam tahanan A. Kugan di Balai Polis Taipan, Subang Jaya hari ini mengakui ada melihat mangsa telah dipukul tetapi tidak mencatat dalam diari balai kerana tidak menyangka perkara buruk akan berlaku.

Dalam sesi pendengaran hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Lans Korperal Mohd Haizan Hamid, 31, memberitahu dihadapan Hakim V.T. Singham bahawa telah melihat defendan V Navindran memukul Kugan dalam bilik soal siasat tetapi beliau kemudiaannya telah menghalang tindakan Navindran tersebut.

"Semasa saya masuk ke dalam bilik, saya melihat Navindran sedang memukul Kugan.

"Kemudiaan saya telah menarik beliau daripada terus memukul," kata Mohd Haizan semasa menjawab soal balas daripada peguam Ramesh Sivakumar yang mewakili Navindran.

Walaubagaimanapun, Mohd Haizan mengakui telah melakukan kesilapan kerana tidak mencatat insiden tersebut dalam diari balai atas alasan tidak menyangka sesuatu yang buruk akan menimpa keatas mangsa.

"Selepas insiden tersebut, saya ada bertanya Kugan tentang keadaannya dan dia menjawab tiada apa-apa.

"Saya tidak jangkakan keadaan buruk akan berlaku dan saya akui kesilapan kerana tidak mencatat insiden dalam diari," tambah beliau semasa memberikan keterangan saksi hari ini.

Haizan merupakan salah seorang saksi yang mengawal bilik siasatan semasa kematian mendiang Kugan dan berkata setiap insiden serta syif pertukaran anggota mesti dicatat dalam diari balai.

Haizan turut mengakui tindakan tersebut menyalahi prosedur tetapi menafikan ia bertujuan untuk menyembunyikan sesuatu yang buruk daripada dilaporkan.

"Selepas insiden dalam kes Kugan, sehingga ini tiada sebarang tindakan disiplin dikenakan keatas saya.

"Saya tidak berniat untuk sembunyikan apa-apa, lagipun saya sudah bertanya Kugan tentang keadaannya dan dia kata dalam keadaan baik," kata Haizan yang tidak mempunyai rekod buruk sepanjang lima tahun berkhidmat dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu lagi, saksi tersebut juga menafikan mendapat arahan daripada Ketua Polis Daerah Subang Jaya (Allahyarham) ACP Zainal Rashid Abu Bakar supaya memilih daripada kalangan 14 anggota polis yang terlibat dalam kes Kugan untuk dijadikan kambing hitam seperti didakwa oleh Narvindran sebelum ini.

Menurut Haizan, Zainal Rashid memanggil satu perjumpaan tidak rasmi dengan kesemua anggota yang terlibat dalam kes tersebut semata-mata untuk melihat mereka yang terlibat.

"Ketua Polis Daerah panggil semua anggota kerana untuk melihat anggota yang terlibat dalam kes tersebut.

"Tiada perbincangan atau arahan daripada beliau supaya seseorang perlu dipilih untuk bertanggungjawab dalam kes kematian Kugan. Saya tidak bersetuju berlaku perbincangan," kata beliau lagi.

Sesi hari ini merupakan yang terakhir dalam perbicaraan kes saman RM100 juta oleh ibu Kugan, N. Indra ekoran kematian anaknya Kugan yang ditahan pada 15 Januari 2009 kerana disyaki dalam kes curi kereta mewah dan ditemui mati di Balai Polis Taipan USJ pada pukul 11.40 pagi, 20 Januari 2009.

Pada 13 Januari 2012, Indra selaku pentadbir harta pusaka Kugan, menamakan Khalid yang ketika itu Ketua Polis Selangor; bekas Konstabel V. Navindran; wakil pentadbir harta mangsa, Zainal Rashid Abu Bakar; Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan pertama hingga kelima.

Indra selaku plaintif mendakwa pihak defendan telah cuai serta melanggar kewajipan statutori mereka iaitu memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan anaknya dalam keadaan baik semasa dalam tahanan polis dari 14 hingga 20 Jan 2009.

Navindran didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 11 Jun lalu dan dihukum penjara tiga tahun kerana menyebabkan kecederaan parah ke atas Kugan.

Mahkamah menetapkan 28 Februari sebagai tarikh untuk pengurusan kes tuntutan oleh ibu Kugan ini sebelum menetapkan tarikh keputusan.

Tiada ulasan: