Khamis, 3 Januari 2013

Putu Halba di musim banjir

Salmah Mat Husain,



(Nurihan Majid menjual putu halba di pusat perpindahan banjir)

RANTAU PANJANG: Putu halba merupakan kueh yang paling popular di musim tengkujuh di sebelah Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu.

Kebanyakkan peniaga menukar jenis jualannya buat sementara waktu semata-mata untuk mencari rezeki berganda di musim ini.

Di Kelantan kueh ini banyak dijual di pekan-pekan kecil di setiap jajahan di negeri ini, termasuk di rumah  khusus untuk mencari rezeki dengan kueh ini.

Putu halba diperbuat  dari ubi kayu dicampur dengan gula melaka, gula, halba dan seterusnya dicecah dengan kelapa menjadi tarikan ramai untuk dinikmatinya ketika panas.

Harakahdaily sempat merakamkan seorang peniaga kueh ini di tempat perpindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjung, Rantau Panjang.

Nurihan Majid, 47, pada asalnya meniaga tapai ubi kayu di Kedai Salor, namun menukar kueh ini kerana ianya lebih laku ketika musim banjir.

“Ketika jualan hari biasa, nak dapat RM40 pun sukar, tapi rezeki musim tengkujuh ni alhamdulillah kadang-kadang dapat juga RM200 sehari,”ujarnya.

Kerana tidak menang tangan, beliau dibantu oleh seorang rakan Hasnah Deraman, 35.

Bermula jam 10.00 pagi, Nurihan memulakan jualannya sehingga 4.00 petang kecuali jualannya habis awal berbanding biasa.

Menurut Nurihan, tahun lepas beliau dapat menjualnya enam biji RM2 kerana ubi sendiri, namun sekarang ubi beli yang telah siap diparut, harga agak mahal.

“Syukurlah walaupun musim tengkujuh, kami masih dapat mencari rezeki dan pendapatannya lebih berbanding biasa,”ujarnya yang tinggal di Kampung Gajah Mati, Pasir Mas.

Beliau mengakui dengan pendapatannya itu dapat membantu suami menyediakan kelengkapan sekolah pada anak-anaknya seramai tiga orang.

Menurutnya, sebelum ini beliau tidak mengetahui bagaimana cara untuk membuatnya, bagaimanapun setelah mendapat tunjuk ajar dari kawannya, akhirnya beliau cuba membuatnya sejak tujuh tahun lalu.

Tiada ulasan: