Sabtu, 19 Januari 2013

PRU13: SPR Kerah 240,000 Petugas

KL TODAY

KUALA LUMPUR: Seramai 240,000 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan terlibat dalam memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti. Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah itu meningkat daripada kira-kira 180,000 petugas SPR pada PRU-12 tahun 2008.


Beliau menjelaskan pertambahan petugas itu disebabkan beberapa faktor seperti jumlah pengundi yang bertambah saban tahun.



“Sehingga suku ketiga 2012, terdapat seramai 13.1 juta pengundi berdaftar dengan SPR. Sekiranya pilihan raya diadakan selepas bulan Mac, kita menjangkakan pertambahan seramai 164,000 pengundi lagi yang didaftarkan pada suku keempat tahun lepas,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sesi taklimat PRU-13 dan isu-isu berkaitan proses pilihan raya kepada petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama)di Wisma Bernama di sini, Khamis.


Turut hadir ialah Pengerusi Bernama, Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan pemangku Pengurus Besar Bernama, Datuk Yong Soo Heong.


Pada PRU-13 akan datang, sebanyak 8,139 pusat mengundi akan dibuka di seluruh negara melibatkan 24,522 saluran tempat mengundi.


Wan Ahmad menjelaskan 80 peratus daripada pusat mengundi melibatkan bangunan sekolah, manakala selebihnya melibatkan dewan serbaguna dan balai raya.


Selain itu, katanya lebih ramai petugas juga diperlukan bagi memastikan proses pengundian awal yang pertama kali diperkenalkan dapat dijalankan sebaik mungkin.



“Kami benar-benar mahu memberikan yang terbaik. Petugas yang lebih ramai perlu untuk membantu pengundi dan pemerhati yang dilantik sepanjang proses pilihan raya berlangsung,” katanya. Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata SPR menjangkakan kesemua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri akan ditandingi, sekali gus pertambahan petugas diperlukan bagi menampung tanggungjawab yang bakal dipikul badan itu.


“Berdasarkan senario politik sekarang, kita rasa tak mungkin ada lagi kerusi yang menang tanpa bertanding,” katanya.


Semasa sesi taklimat hari ini, petugas Bernama didedahkan dengan simulasi proses pengundian di mana dakwat kekal akan digunakan buat kali pertama.

Tiada ulasan: