KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Peguam mewakili keluarga C Sugumar yang meninggal dunia akibat dipukul baru-baru ini, berkata, polis cuba menutup kes tersebut dengan kerjasama hospital Serdang.“Kami merujuk dakwaan daripada Ketua Polis Kajang bahawa polis tidak memukul C Sugumar sehingga mati dan beliau meninggal kerana serangan jantung.
“Kenyataan itu adalah cubaan terang-terangan polis menutup kes, dengan kerjasama secara diam-diam oleh Hospital Serdang,” kata peguam Latheefa Koya dan N Surendran.
“Dakwaan Hospital Serdang bahawa Sugumar mati kerana serangan jantung adalah mustahil. Sugumar tiada masalah kesihatan dan baru berusia 40 tahun. Sukar dipercayai lelaki yang sihat tiba-tiba jatuh dan mati serta merta setelah ditangkap,” kata mereka.
Peguam berkenaan berkata, tiga saksi mendakwa melihat kejadian itu, namun polis tidak mengambil keterangan mereka.
“Ketika kami melihat mayat di bilik mayat, mendiang masih digari dan ada serbuk kunyit di mukanya. Juga terdapat kesan lecet yang konsisten dengan pergelutan dengan penyerang seperti yang dijelaskan saksi,” ujar mereka.
Mereka berkata, dalam kes A Kugan, Hospital Serdang membuat dakwaan palsu bahawa Kugan mati kerana paru-paru berair, sedangkan beliau dipukul sehingga mati dalam tahanan polis.
“Ahli Patologi Hospital Serdang, Prof Dr Abdul Karim Tajuddin kemudian didapati bersalah oleh Malaysian Medical Council (MMC) dalam salah laku profesional kerana memalsukan penemuan bedah siasat A Kugan,” tegasnya.
Menurut mereka, Hospital Serdang semalam sekali lagi melanggar etika perubatan dengan tidak membenarkan keluarga Sugumar melihat mayatnya, dengan arahan polis.
“Pihak keluarga hanya dibenarkan melihat mayat atas desakan peguam dan aktivis, selepas 4 jam menunggu. Keluarga Sugumar akan membuat laporan kepada MMC ke atas Hospital Serdang dan ahli patologinya dalam masa terdekat,” tegas kenyataan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan