Sabtu, 5 Januari 2013

Perkasa: Mungkin boleh dakwa Guan Eng melalui enakmen syariah

 
Telah wujud satu enakmen yang digubal pada tahun 1988 melarang mana-mana individu bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah'. 



KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkemungkinan boleh didakwa dan dikenakan hukuman dibawah enakmen negeri kerana menggunakan perkataan ‘Allah’, kata Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali.

Beliau  berkata, telah wujud satu enakmen yang digubal pada tahun 1988 melarang mana-mana individu bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’.

Katanya, enakmen yang dikuatkuasakan sejak tahun 1990 dan diguna pakai dikebanyakan negeri yang mempunyai Raja Melayu itu terletak dibawah kuasa Jabatan Agama Islam negeri.

“Enakmen itu memperuntukkan kalimah ‘Allah’ tidak boleh diguna mana-mana pihak kecuali orang Islam.
“Menjadi satu kesalahan bagi individu yang melanggar peruntukan ini dan mereka boleh didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Sivil,” katanya dalam sidang media di Kelab Sultan Sulaiman di sini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu merujuk kepada kenyataan Guan Eng dalam ucapan sambutan Krismas 25 Disember lalu yang mahu penganut Kristian di Semenanjung dibenarkan menggunakan perkataan ‘Allah’ sama seperti di Sabah dan Sarawak.

Ibrahim bagaimanapun berkata pihaknya kecewa kerana kerajaan negeri tidak tegas menangani isu pertikaian kalimah ‘Allah’ menggunakan undang-undang sedia ada kerana bimbang nama baik Islam akan tercemar jika dibiarkan berpanjangan.

“Perkasa menggesa Jabatan Agama ambil tindakan dan pantau bagi memastikan hubungan antara kaum tak terjejas,” katanya.

Ibrahim turut mencadangkan supaya satu tribunal diraja di bawah kelolaan Majlis Raja-Raja  ditubuhkan bagi menangani isu akidah umat Islam.

Turut baca:
Perkasa tidak akan halang Himpunan Kebangkitan Rakyat

1 ulasan:

ju berkata...

Cukup lah perkosa pn! Byk isu lain yg lbh ptg utk diketengahkn. Klu nk tonjol diri demi politik, buat lah suatu yg mmbantu pnduduk yg ssh.