Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR : Peniaga sekitar Pantai Telok Kemang, Port
Dickson memboikot kedai ‘tak siap’ yang disediakan Kerajaan Negeri
Sembilan, setelah mengusir dan merampas kedai mereka sebelum ini bagi
tujuan pembangunan.
Pengerusi Sekretariat Selamatkan Pantai Telok Kemang, Shaharuddin Abu
Talib berkata, kedai tersebut hanya dibangunkan menggunakan tiang kayu
tanpa dinding dan pintu.
“Kedai dah siap tapi tak ada dinding, pintu mahupun keperluan asas
lain. Cuma tiang dari kayu dan bumbung disediakan. Sebab itu, peniaga
boikot tak mahu berniaga di situ,” jelas Shaharuddin ketika dihubungi.
“Kedai yang terdedah sebegitu mengundang pelbagai risiko, antaranya
pencuri, vandalisme, dan bencana alam seperti ribut dan sebagainya,”
katanya.
Menurut Shaharuddin, peniaga terbabit kini meneruskan perniagaan berpayungkan khemah simbol memboikot kedai berkenaan.
“Kami 100 peratus membantah projek pembangunan yang tidak teratur seperti ini,” tegasnya.
November lalu, 100 wakil peniaga sekitar pantai berhimpun di
perkarangan Parlimen bagi membantah kezaliman kerajaan yang mengusir dan
‘menutup periuk nasi’ mereka untuk projek pembangunan.
Tanah di sekitar pantai ditambak dan sebahagian besarnya dijadikan milik peribadi beberapa individu.
Kerajaan negeri juga rakus merampas tanah dan menghalau peniaga tanpa
sebarang notis, seterusnya meluluskan projek di kawasan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan