Rabu, 9 Januari 2013

Penduduk Pengerang fail semakan kehakiman cabar projek Rapid

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR: Empat keluarga mangsa rampasan tanah Pengerang, Johor memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk membatalkan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan & Petrokimia (Rapid).

Mereka adalah Khairiah Md Yunus, Sufinah Abu, Loh Back Seng dan Lim Goo Kia.

Semakan itu difailkan melalui Tetuan Hanipa Maidin kira-kira jam 2 petang tadi.



Turut hadir menyokong, Pengerusi Badan Bertindak Pengambilan Tanah Pengerang (Mantap), Salahuddin Ayub serta lebih kurang 30 wakil penduduk.

“Ia bagi membatalkan keseluruhan projek Rapid. Setelah meneliti semua dokumen, kami dapati ada perlanggaran. Antaranya dalam beberapa Seksyen Akta Pengambilan Tanah 1960,” kata Hanipa selepas memfailkan semakan itu.

“Kami juga akan mencabar pengambilan tanah tersebut kerana bertentangan dengan Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan hak rakyat untuk harta mereka dilindungi. Sekalipun mereka mahu juga ambil (tanah), mesti mengikut undang-undang,” jelasnya.

Hanipa berkata, selaku pihak berkuasa negeri, hanya Sultan layak mengambil tanah berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya, setelah meneliti dokumen, projek tersebut tidak mendapat sokongan Sultan Johor.

Salahuddin pula menegaskan, semakan kehakiman itu bukan bermaksud mereka menentang pembangunan.

“Sekali lagi kami tegaskan, kami tidak menentang pembangunan. Ia melibatkan hampir 10 kampung yang akan terhapus dari peta Pengerang, melibatkan tanah kerajaan lebih 20,000 hektar yang membolehkan pembinaan projek tersebut. Kenapa perlu ambil tanah rakyat?” tegas Naib Presiden PAS itu.

“Kita menentang pengambilan tanah atas tiga prinsip. Pertama jangan hapuskan kampung-kampung itu. Kedua, jangan usik tanah perkuburan orang Islam dan bukan Islam serta yang ketiga, mesti mematuhi syarat-syarat alam sekitar yang ditetapkan,” tegasnya.

Akibat pembangunan projek Rapid, 22,500 ekar tanah di Pengerang akan dirampas mengakibatkan 25,000 orang dipindahkan dari sejumlah 927 keluarga.

Selain itu, 11 tanah perkuburan akan turut dipindahkan.

Tiada ulasan: