Rabu, 23 Januari 2013

Pemilihan MBM: Jais Karim dakwa diugut

Wartawan Sinar Harian

Jais Abdul Karim
Jais Abdul Karim
 
SHAH ALAM - Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim menjelaskan beliau menarik diri daripada bertanding merebut jawatan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) pada saat akhir tidak mahu berlaku krisis kepimpinan.

Beliau mengambil keputusan menarik diri empat jam sebelum pengundian daripada terus bertanding kerana mendakwa menerima ugutan secara peribadi.

Katanya, keputusan itu diambil selepas menyedari hakikat “menang jadi arang, kalah jadi abu” kerana wujudnya undi blok dan pelbagai ketidakadilan berlaku pada saat itu.

“Saya diugut secara peribadi begitu juga dengan penyokong. Malah bantahan dikemukakan pasti membolehkan saya menang tanpa bertanding secara teknikal,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada pemilihan itu, penyandang Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee mengekalkan jawatan itu buat penggal 2012-2014 apabila menang tanpa bertanding.

Manakala Muammar Ghadafi Jamal dari Gerakan Belia 4B Malaysia dilantik secara automatik sebagai timbalan presiden.

Pemilihan anggota jawatankuasa MBM, yang diadakan sempena mesyuarat perhimpunan agung tahunan ke-61 majlis itu di Subang Jaya, juga menyaksikan tiada pertandingan bagi merebut jawatan setiausaha agung dan bendahari kehormat.

Jawatan Setiausaha Agung disandang Mohd Zaidi Aziz (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia) manakala N Mahendran (Majlis Belia Hindu Malaysia) dilantik Bendahari Kehormat.

Turut dilantik, Khairul Anwar El Syazalli Musa (Majlis Belia Perak) selaku Pengerusi Tetap manakala jawatan Timbalan Pengerusi Tetap dimenangi K Murali (Majlis Kelab Bell Belia Tamil Malaysia).

Sementara itu, jawatan Naib Presiden diisi tiga nama iaitu Low Eng Tack (Gerakan Belia Bersatu Malaysia), Manndzri Nasib (Majlis Belia Felda Malaysia) dan Nasrul Ahmad (Majlis Gabungan Belia Melaka).

Menurut Jais, tindakan menarik diri adalah terbaik dan bermaruah biar pun ianya mengecewakan ramai penyokong.

Sementara itu, Mohamed Maliki ketika dihubungi berkata, beliau tidak mengetahui secara tepat mengapa Jais mengundurkan diri pada saat-saat akhir pemilihan.

Malah beliau turut menafikan wujud undi blok seperti yang didakwa oleh Jais.

“Saya tidak tahu berkenaan undi blok seperti didakwa. Soal sokongan juga adalah bergantung kepada perwakilan sendiri dan setiap perwakilan pastinya mempunyai pandangan serta keputusan masing-masing.

“Sekiranya ada ugutan seperti yang didakwa dan boleh mengancam keselamatan beliau boleh melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Mohamed Maliki berkata, hal ini tidak perlu disensasikan dan tidak wajar bagi calon itu membuat kenyataan di luar.

Tiada ulasan: