Rabu, 9 Januari 2013

Pampasan Jepun: Nizar buat PC khas hari ini

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: AJK PAS Pusat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin akan mengadakan satu sidang media (PC) khas hari ini ekoran skandal wang pampasan pembinaan landasan keretapi maut Jepun.

Beliau dijangka akan mendedahkan beberapa dokumen penting berkaitan dengan isu ini ekoran kecelaruan selepas kenyataan pegawai Kedutaan Jepun semalam.

Sidang media ini akan diadakan jam 2 petang nanti di Pejabat Agung PAS.

Semalam Pegawai Kedutaan Jepun menafikan  dakwaan kononnya beliau mengesahkan penyerahan wang RM207 bilion kepada kerajaan Malaysia.

Apa yang berlaku adalah salah petik dari beberapa media terhadap laporan Harakahdaily.

Harakahdaily melapor kedutaan Jepun mengesahkan penyerahan sejumlah wang kepada kerajaan Malaysia namun tidak dinyatakan jumlahnya kerana pegawai itu akan menyemak dahulu dengan Tokyo mengenainya.

Namun beberapa media memetik berita Harakahdaily itu dengan menokot tambah wang berjumlah RM207 juta itu.

Akhbar The Star milik MCA juga melaporkan perkara itu dengan memberikan imej buruk kepada Nizar.

The Star melaporkan, Kedutaan Jepun menafikan pembayaran RM207 bilion itu.

Setiausaha Kedua Kedutaan Jepun, Takaharu Suegami menyatakan perkara ini bagi menjawab laporan media yang mendakwa Nizar sebagai berkata begitu.

Takaharu berkata, dakwaan itu diluar pengetahuan dan campurtangan kerajaan negeri Jepun.

Sebelum ini Harakahdaily melaporkan, Nizar mendakwa kerajaan negeri Jepun telah membayar wang sebanyak RM207 bilion kepada kerajaan Malaysia untuk diagihkan kepada mangsa pembinaan keretapi maut itu.

Namun sehingga kini mangsa atau waris mereka belum menerima sebarang wang pampasan itu.

Dakwaan itu dibuat Nizar dalam sidang Parlimen sessi lepas.

 Sementara itu, Utusan pada 11 Mei 2007 pernah melaporkan, kes tuntutan buruh paksa ‘Landasan Kereta Api Maut Jepun’ dianggap selesai oleh kerajaan Malaysia sejak zaman pentadbiran Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, Ahmad Shabery Cheek.

Menurut beliau, ini berikutan satu perjanjian berkaitan bekas buruh paksa Jepun yang telah ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan Jepun pada 21 September 1967.

Mengikut perjanjian tersebut, katanya, kerajaan Jepun bersetuju membayar wang ‘darah’ kepada Malaysia dan wang tersebut telah digunakan untuk menubuhkan Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC).

Ini yang menyebabkan mangsa ini tidak berpuashati kerana wang pampasan itu sepatutnya diperolehi oleh mereka.

Tiada ulasan: