Rabu, 16 Januari 2013

Pakatan masih belum putuskan nasib AES

 
Namun memberi jaminan membatalkan saman AES yang dikenakan terhadap rakyat sejurus menguasai pentadbiran Pusat. 



KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat belum membuat keputusan sama ada memansuhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sekiranya memerintah Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, Pakatan Rakyat masih belum mengkaji secara keseluruhan sama ada mahu meneruskan pelaksanaan AES termasuk perjanjian yang dibuat kerajaan dengan dua syarikat kontraktor Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd.

Namun, beliau memberi jaminan membatalkan saman AES yang dikenakan terhadap rakyat itu sesuatu yang pasti dilakukan Pakatan Rakyat sejurus menguasai pentadbiran Pusat.

“Saya tak tahu…sebab tu antara kajian yang kita akan buat untuk melihat perjanjian yang dibuat oleh kerajaan dan dua syarikat ni

“Sehingga Pakatan Rakyat dapat tawan Putrajaya pada saat itu semua saman akan dibatalkan,” katanya dalam sidang media  Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menggesa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai prosiding baru saman AES selepas ditangguhkan sejak bulan lalu.

Katanya, Abdul Gani perlu menunggu sehingga selesai PRU bagi mengelakkan sebarang kekeliruan teknikal mengenai prosedur dan undang-undang AES sekiranya pemerintahan bertukar tangan.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengulas kenyataan Abdul Gani yang mahu mengumumkan prosiding baru AES selepas semua isu kontroversi membabitkan sistem itu diselesaikan.

Beliau turut menggesa Abdul Gani supaya membuat satu kenyataan jelas nsupaya orang kena saman (OKS) tidak perlu hadir ke mahkamah memandangkan masih ramai lagi yang menerima surat saman dan hadir ke mahkamah.

Tiada ulasan: