Rabu, 30 Januari 2013

Nurul Izzah gesa DBKL pantau projek ancam nyawa di Bukit Gasing

Oleh Arif Juhani

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju bertanggungjawab insiden tanah runtuh dan banjir lumpur yang mengancam keselamatan penduduk Kampung Pasir ekoran projek pembinaan 68 unit banglo di lereng Bukit Gasing, Kampung Pantai Dalam, dekat sini.

Beliau mendedahkan sikap pasif DBKL terhadap aduan dan keluhan penduduk sekitar kawasan pembangunan ekoran wujudnya konflik kepentingan antara DBKL dan pemaju, Amona Development Sdn Bhd.

Nurul Izzah berkata, KEADILAN pernah membawa rungutan penduduk Kampung Pasir tahun lepas, namun semalam Datuk Bandar Kuala Lumpur memberi respon mengecewakan dan menyalahkan penduduk.



“Datuk Bandar jawab projek berkenaan tidak boleh dibeli kerana kes itu sudah menang di mahkamah. Konon takut nanti duit rakyat pula digunakan,” katanya pada sidang media di pintu masuk tapak pembinaan oleh pemaju Gasing Meridian Sdn Bhd, di sini, hari ini.

“Malah katanya lori keluar masuk menyebabkan debu lalu mereka tidak boleh membaiki kerosakan tanah.

“Kita bukan desak DBKL batalkan projek tetapi kita desak pantau dan ambil tindakan terhadap pemaju yang tidak membaik pulih kerosakan serta merta,” ujar Naib Presiden KEADILAN itu.

Menurutnya, projek pembangunan yang melingkari 57 ekar itu menyebabkan berlaku kes tanah runtuh, banjir lumpur di Kampung Pasir dan Institut Pengajian Bahasa di Lembah Pantai dan Pantai Hillpark.

“Dalam projek itu, DBKL terlibat dengan pembangunan meliputi Bukit Gasing dan kawasan sekeliling.

“Kejadian tanah runtuh pula berlaku di keseluruhan kawasan bawah pengawasan DBKL sedangkan DBKL sepatutnya memantau semua projek dalam kawasannya.

“Kehadiran KEADILAN untuk memberi tekanan dan hanya boleh buat keputusan tetapi DBKL mesti segera bertindak,” tegas Nurul Izzah.

Ekoran itu, beliau menggesa DBKL dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) segera menubuhkan task force dan bergabung dengan pentadbir Petaling Jaya dan kerajaan Selangor untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

“KEADILAN menerima keluhan bukan sahaja dari Bukit Gasing tapi Kampung Pasir, Pantai Hillpark dan Pantai Dalam.

“Bila pembangunan membabitkan lebih 60 ekar, di lereng bukit, DBKL digesa segera mengambil tindakan untuk mengelakkan bencana alam berlaku,” katanya.

Pada 2 Oktober 2012, 108 penduduk Bukit Gasing gagal mencabar perintah Datuk Bandar Kuala Lumpur yang meluluskan projek kontroversi di lereng bukit kawasan itu selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan mereka bagi mendapat kebenaran merayu.

Tiada ulasan: