Jumaat, 18 Januari 2013

M'sia mampu laksana pendidikan percuma jika subsidi ditarik



 
Malaysia boleh melaksanakan pendidikan 100 peratus percuma hanya jika semua subsidi keperluan asas termasuk petrol dan diesel dimansuhkan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Namun katanya, jika itu yang dilakukan rakyat keseluruhan akan berdepan pelbagai kesukaran, termasuk menanggung peningkatan harga barangan.

"(ini) seperti penduduk di beberapa negara Eropah seperti Sweden, Perancis, Sepanyol dan Portugal yang tidak mendapat subsidi dan terpaksa membeli barangan keperluan asas berdasarkan harga pasaran semasa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Persekolahan RM100 di Sekolah Kebangsaan Kerayong dekat Bera hari ini.

Beliau berkata di Sepanyol misalnya, kadar inflasi dan pengangguran di negara itu meningkat 20 peratus berbanding Malaysia yang dilihat masih boleh mengatasi inflasi dan kadar pengangguran.

"Harga barang yang meningkat tanpa subsidi menyebabkan rakyat susah dan kadar pengangguran terus meningkat, nisbahnya dalam 100 orang penduduk di Sepanyol, 20 daripadanya adalah penganggur," katanya.

Beliau berkata diminta mengulas saranan seorang pelajar jurusan undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani yang meminta kerajaan memberi pendidikan percuma seperti pelajar di Switzerland, Venezuela dan beberapa negara Amerika Latin pada satu forum di UUM, Sintok baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan mengeluarkan peruntukan berbillion ringgit setahun bagi menanggung subsidi untuk mengelak rakyat menangung bebanan kenaikan harga barang.

"Sebenarnya Malaysia telahpun memberikan pendidikan percuma dari tahap sekolah rendah hingga sekolah menengah.

"Di peringkat universiti, kerajaan menanggung 90 peratus daripada pembiayaan perbelanjaan untuk mahasiswa melanjutkan pelajaran," katanya.

Selain itu katanya, rakyat di negara yang memberikan pendidikan 100 peratus percuma dikenakan cukai pendapatan yang tinggi dan tidak mendapat perkhidmatan lain secara percuma.

Sebanyak 14,000 pelajar di daerah Bera akan menerima bantuan persekolahan itu melibatkan peruntukan RM1.4 juta.-Bernama

Tiada ulasan: