Oleh DR MUHAIMIN SULAM |
Bukan aku tidak setuju membuat kajian itu. Ada beberapa kemungkinan yang akan timbul selepas buku tersebut berada pada tangan para pembaca. Tujuan penerbitan buku tersebut bukan untuk mempertahankan perjuangan Mat Indera tetapi suatu usaha melihat sejarah dengan sudut pandangan yang lebih adil. Membebaskan diri daripada kerangka falsafah sejarah yang bernafaskan kepentingan kelompok tertentu kepada yang lebih bersikap terbuka. Tanpa menafikan ramai juga kalangan kawan-kawan menasihat agar tidak menulis tentang Mat Indera. Kaitan dengan gerakan komunisme itu seperti saka yang puaka!
Sejarah sebenarnya memiliki zeitgeist (semangat zaman) yang perlu diketahui selain daripada sejarah itu sebagai suatu proses pembentukan persepektif dan ilmu pengetahuan. Kita bukan berada dalam zaman purba yang terikat dengan pensejarahan klasik yang berpaksi dogmastik ataupun zaman moden yang mengagungkan sekularisasi dalam semua aspek kehidupan. Kita hidup dalam zaman post modenisme yang memberi ruang seluas-luasnya untuk masyarakat menilai kembali sistem yang sedia ada.
Dan sebagai hasil perbincangan, perdebatan, brainstorming yang berlangsung berbulan-bulan maka buku tersebut terhasil. Buku itu memang membicarakan susuk anak muda yang menerjunkan dirinya dalam lingkungan kontroversi yang berpanjangan hingga sekarang. Mat Indera bukanlah nama yang tersenarai dalam daftar buku sejarah sekolah ataupun universiti. Jasadnya sudah berpuluh-puluh tahun tertanam dalam perut bumi. Akan tetapi ceritanya masih hidup dan akan terus hidup.
Sewaktu aku berkunjung ke rumah salah seorang anak kepada yang menangkap Mat Indera di Kg. Parit Warijo, Muar. Katanya, dia sudah naik letih melayan pertanyaan tentang Mat Indera. Dengan bahasa Jawanya itu makcik itu semacam mempersoalkan usaha membuat kajian tentang orang yang sudah mati macam Mat Indera. ‘Dah lama orang itu mati, mengapalah ditanya-tanya lagi....’. Sengaja aku bercakap bahasa Jawa. Kampung itu, dulunya adalah tempat awal orang Jawa Ponorogo datang. Aku senyum tawar kerana masih menaruh harapan untuk suaminya sudi ditemu bual. Aku memang tidak buat temu janji. Pakai redah sahaja.
Suaminya tidak dapat menenuhi permintaan aku. Dia tengah sibuk membaiki bumbung rumahnya. Keesokannya pun tak dapat. Kena buat temu janji dulu, katanya. Namun dalam sembang-sembang begitu di tepi tangga rumahnya itu, dapat sedikit kukorek beberapa maklumat yang kuperlukan.
Sumber lisan yang diperolehi daripada ahli keluarga dan kenalan yang terlibat mungkin dapat membantu walaupun ini terdedah dengan pandangan yang tidak seimbang. Maka, sumber yang pelbagai ini boleh dinilai semula melalui kebijaksanaan pembaca. Adapun sumber yang disampaikan dalam buku ini pelbagai dan agak sukar untuk aku menyaring melainkan sekadar bersifat penerangan.
Dr Zuhdi Marzuki menawarkan untuk membantu aku mendapatkan bahan-bahan daripada Arkib Negara dan perpustakaan UM. Memang itu yang paling baik. Untuk aku ke Kuala Lumpur selalu agak membebankan. Sementara itu, berita Mat Indera di akhbar semakin berkurangan dari sehari ke sehari. Tidak seperti dua tiga minggu selepas kenyataan Mohamad Sabu tersiar di akhbar perdana tanah air. Bukan sahaja di akhbar, isu itu mendapat liputan meluas di kaca televisyen dan juga media elektronik. Masing-masing berhujah bagi mempertahankan pendirian masing-masing. Kebanyakan maklumat tersebut terlalu umum dan lebih berbaur dengan sentimen. Malah daripada hujah lawan hujah kemudiannya merebak main-main ugut. Ada yang buat laporan polis. Untuk lebih sensasi, laporan polis buat secara beramai-ramai menggambarkan betapa seriusnya isu tersebut. Sampai hendak simbah air asid dan bakar rumah. Ini keterlaluan dalam sebuah masyarakat yang kononnya mengamalkan sistem demokrasi ini.
Masyarakat Malaysia sudah terperangkap begitu lama dalam sangkar pemikiran yang bersegmen atas sentimen politik perkauman, politik kepartian dan pemahaman agama yang jumud. Hukum karma hitam-putih menjadi pendekatan dalam menilai sesuatu. Jika ditakdirkan hukuman itu hitam, nanti bakal akan dihitam selama-lamanya. Sebaliknya jika ditakdirkan putih, lalu tiada langsung titik hitam biarpun setitik. Pemikiran inilah yang sedang dipupuk subur dalam mengekalkan political survival masing-masing.
Komunisme seperti juga sosialisme, fasisme dan nasionalisme adalah jalur pemikiran manusia mencari jalan penyelesaian semasa. Ia adalah upaya manusia menggunakan kecerdasan akal fikiran dan pengalaman hidup manusia bermasyarakat. Tentu sekali ada yang sesuai dan juga yang bertentangan dengan tuntutan Islam.
Pada 9 malam 29 Januari 2013, kami dan KERABAT akan menganjurkan Malam Memperingati 60 Tahun Mat Indera Digantung Mati. Majlis itu akan berlangsung di Tapak Pasar Malam, Kamunting akan diisi dengan pidato, puisi dan bedah buku. Orang yang akan memberi pengisian pada malam tersebut, adalah anak muda berani seperti KS Bawani dan Adam Adli, Baharom Shah Indera, Dr Zuhdi Marzuki, peguam Aminuddin. Ahli keluarga Mat Indera akan membawa teks ucapan Mat Indera (yang ditulis sendiri oleh Mat Indera) dan sebuah buku lamanya. Taiping, selain tempat Mat Indera digantung di Penjara Taiping, di situlah bersemadinya jasad Mat Indera. Di Taiping juga terletaknya, Kem Tahanan Kamunting yang menempatkan tahanan bahawa ISA. Mat Indera ditahan oleh British bawah Akta Darurat 1948 yang mempunyai semangat zalim ISA. Akar hitam itu masih menjalar kuat.
Mari pergi ke Taiping pada 29 Januari ini. Jumpa di sana!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan