Sehingga kini masih tidak diketahui ke mana perginya pampasan yang dianggarkan sehingga RM207 bilion daripada kerajaan Jepun kepada rakyat Malaysia yang menjadi buruh paksa landasan maut Siam-Burma semasa Perang Dunia Kedua, dakwa bekas menteri besar Perak.

Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mendakwa, tiada bayaran dibuat kepada mangsa atau waris walaupun kedutaan negeri matahari terbit itu mengesahkan menyerahkannya sekitar tahun 90-an, lapor Harakahdaily.

NONE"Kita tidak tahu. Kalau wang itu masih ada dalam simpanan kerajaan kenapa tidak diberi balik kepada mangsa," beliau dipetik sebagai berkata.

"Mangsa ada 30,000 yang boleh balik semula ke Malaysia walaupun ada yang meninggal dunia tetapi mereka masih ada waris melalui Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam Burma 1942-1946."

Nizar yang mengetuai Sekretariat Jejak mencari bekas buruh paksa dan waris landasan maut itu berkata, pihaknya juga tidak tahu sama ada pampasan itu masih disimpan di Perbendaharaan Negara atau Amanah Raya kerana tiada penjelasan dibuat oleh kerajaan.

Katanya, hasil pertemuannya, Setiausaha Kedua Kedutaan Jepun ke Malaysia Takaharu Suegami mengesahkan penyerahan wang itu walaupun memaklumkan akan merujuk kepada Tokyo berhubung perkara itu.

Nizar yang juga anggota jawatankuasa Pusat PAS dilapor berkata, dengan jumlah RM207 bilion itu setiap keluarga dianggarkan layak menerima sehingga RM3 juta pampasan.

"Banyak! Pemberian pampasan ini kepada mangsa lebih baik dari ETP yang dibuat oleh kerajaan, sekurang-kurangnya dapat mengatasi sedikit masalah ekonomi orang Melayu," beliau dipetik sebagai berkata oleh akhbar web PAS itu.

Sejak didaftarkan secara rasmi pada 11 Januari 2011, persatuan terbabit dilapor sudah memohon beberapa kali untuk mendapatkan wang pampasan itu.

Nizar baru-baru ini mengutarakan isu berkaitan buruh binaan landasan maut antara 1942 hingga 1946 itu dalam sidang Dewan Rakyat.