Sabtu, 5 Januari 2013

Mahkamah tolak permohonan Anwar batal dua tuduhan

Wartawan Sinar Harian

Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
 
KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini, semalam, menolak permohonan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan dua pertuduhan ke atasnya, membabitkan Perhimpunan Bersih 3.0, 28 April tahun lalu.

Hakim, Mahmud Abdullah memutuskan demikian selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung permohonan tersebut.

Mahmud berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak, mengkaji, atau memutuskan perintah yang dikeluarkan mahkamah yang lebih rendah (Majistret).

Menurut hakim, mahkamah perlu meneliti kesemua rekod majistret bagi mempertimbangkan perintah majistret berhubung perhimpunan itu.

"Bagaimanapun, mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian, untuk memastikan perintah majistret itu sah atau tidak," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Februari depan untuk sebutan semula kes itu. Pada 28 Mei lalu, Anwar memfailkan bantahan terhadap perintah yang dikeluarkan Majistret Zaki Asyraf Zubir, yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka serta amaran supaya tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan, antara 28 April dan 1 Mei 2012.

Beliau mengemukakan permohonan itu atas alasan perintah yang dikeluarkan adalah tidak betul dan tidak sah.

Anwar mendakwa pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan tidak sah kerana Majistret Zaki Ashraf itu tidak menamakannya di dalam perintah itu.

Beliau mendakwa perintah yang dikeluarkan majistret itu tidak pernah diwartakan dan dilampirkan di tempat-tempat yang berkebolehan bagi orang awam mengetahui mengenai perintah itu mengikut Seksyen 90(2) Kanun Acara Jenayah.

Pemimpin itu mendakwa prosiding terhadapnya berhubung kedua-dua pertuduhan itu juga adalah tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Pada 22 Mei tahun lalu Anwar, bersama Timbalan Presiden PPKR Mohamed Azmin Ali, 48, dan Ketua Cabang PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin, 34, didakwa mengambil bahagian dalam protes jalanan yang mencetuskan huruhara di ibu negara.

Mereka turut berdepan pertuduhan kedua iaitu bersubahat dengan Tangam Raju, Rajesh Kumar Gejinder dan Farhan Ibrahim, dengan menghasut mereka membuka sekatan besi di Jalan Raja, di sini, pada hari sama.

Dalam pada itu, pada 2 Julai lalu, mereka didakwa dengan pertuduhan ketiga iaitu bersubahat dengan Tangam, Rajesh dan Farhan bersama penyokong 'Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 3.0)' yang melebihi lima orang untuk menentang perintah Mahkamah Majistret bertarikh 26 April, yang melarang perhimpunan diadakan di kawasan Dataran Merdeka dari 28 April hingga 1 Mei 2012.

Tiada ulasan: