Selasa, 22 Januari 2013

Kutipan Zakat Selangor Meningkat Melebihi Sasaran


Kutipan Zakat Selangor Meningkat Melebihi Sasaran 01

SHAH ALAM : Jumlah kutipan zakat harta dan fitrah di Selangor pada tahun 2012 melebihi sasaran, dengan jumlah kutipan sebanyak RM451 juta berbanding RM394.1 juta dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa pada sidang media khas yang diadakan di Bangunan Sultan Idris Shah di sini.

Menurut Adzib, jumlah kutipan ini melebihi daripada sasaran RM430 juta yang ditetapkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kenaikan sebanyak 14 peratus dan perbezaan sejumlah RM59.6 juta.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM432.2 juta dikutip daripada zakat harta, manakala RM18.8 juta daripada zakat fitrah.

“Pada tahun 2012, LZS mengutip zakat harta sebanyak RM432.2 juta, berbanding RM376.1 juta pada tahun sebelumnya. Jumlah kutipan zakat terbesar mengikut segmen disumbangkan oleh Zakat
Pendapatan (RM260.5 juta), diikuti Zakat Perniagaan (RM85 juta); Zakat Simpanan (RM30.5 juta);
Zakat KWSP (RM7.8 juta); Zakat Saham (RM7.8 juta); Zakat Emas dan Perak (RM2.1 juta); Zakat Harta (RM34.6 juta); Zakat Tanaman (RM2.6 juta), Zakat Ternakan (RM0.03 juta) dan Qada Zakat (RM1.4 juta).

“Jumlah pembayar zakat harta bagi tahun lalu ialah seramai 210,723 orang (meningkat 17 peratus) berbanding tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, seramai 44,488 orang merupakan pembayar baru di LZS,” katanya.

Sementara itu, katanya, bagi tahun 2012, Mais melalui LZS telah mengutip zakat fitrah sebanyak RM18.8 juta, berbanding RM18 juta pada tahun 2011.

Tambahnya, LZS turut meletakkan sasaran kutipan zakat bagi tahun 2013 adalah sebanyak RM470 juta iaitu kenaikan sebanyak 4 peratus berbanding pencapaian tahun lalu.

Katanya lagi, program pencarian fakir dan miskin yang dikenali sebagai Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) yang diperkenalkan sejak 2011 juga kini telah mendaftarkan seramai 932 keluarga untuk menerima pelbagai bantuan.

Dalam pada itu, LZS juga akan melaksanakan beberapa inisiatif baru pada tahun ini antaranya Klinik Bergerak dan Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor dengan kerjasama Kumpulan Perubatan Johor(KPJ).

“Manakala pusat jagaan warga emas yang bertempat di Jalan Kebun, Shah Alam itu dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun tahun ini. Pusat jagaan ini akan memberi perkhidmatan penjagaan, perlindungan dan pemulihan bagi warga emas lelaki dan wanita,” jelasnya.

Tiada ulasan: