Khamis, 3 Januari 2013

Kesediaan tampil 'live' bukti jiwa besar Presiden PAS

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan kesediaan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk memberi penjelasan secara langsung berhubung isu 'amanat' di media yang dikawal parti lawan sebagai berjiwa besar.

Ketua penerangannya Riduan Mohd Nor berkata, biarpun sedar berdepan resiko besar, namun kesediaannya itu sudah cukup menggambarkan keberanian berdepan pihak lawan secara berlapang dada.

"Berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang enggan berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun berkali-kali didesak oleh rakyat," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Menurutnya lagi, kerajaan seharusnya menerima permintaan itu tanpa dolak dalih jika benar mahu penjelsan berhubung amanat itu yang kononnya mencetus polemik dan ‘perpecahan’ itu.

Kata Riduan, permintaan Presiden PAS untuk ‘on air’ di televisyen itu ada rasionalnya.

Ini kerana umum mengetahui media utama negara tidak pernah berpihak kepada pembangkang dan apa sahaja boleh terjadi sekiranya rakaman dibuat dengan pelbagai manipulasi dan suntingan.

Lebih-lebih lagi ujarnya ianya berlaku dalam suasana hampir dengan pilihanraya umum ke 13.

"Ada kebarangkalian keseluruhan ucapan Presiden PAS hanya tinggal beberapa minit sahaja selepas suntingan. Ini yang tidak diinginkan oleh Presiden PAS dan seluruh ahli PAS.

"Yang menghairankan, beliau diserang siang dan malam, kenapa kerajaan pula enggan membenarkan Presiden PAS itu tampil menjelaskan kenyataan beliau," soalnya.

Tiada ulasan: