Isnin, 28 Januari 2013

Keluarga Sugumar tuntut anggota polis dikena hukuman setimpal

Oleh: Aliff Fikri

KAJANG 26 Jan: Keluarga Sugumar Cheliah mendesak anggota polis yang terlibat dalam pembunuhan mangsa di Taman Seri Nanding, Hulu Langat dikenakan hukuman setimpal.

Dalam kejadian petang 23 Januari lalu, Sugumar dikejar 4 anggota polis sebelum mangsa dibelasah  dalam keadaan tangan bergari.

Sepupu mangsa, Ananthakannan berkata, tindakan Hospital Serdang enggan membenarkan keluarga masuk ke bilik mayat untuk membuat pengecaman membuktikan wujud komplot terancang dalam kes tersebut.

“Kita yakin polis telah bekerjasama dengan pihak hospital untuk menyembunyikan kenyataan sebenar agar anggotanya terlepas dari hukuman dan hidup bebas.

“Saya juga tidak mempercayai dakwaan pihak hospital yang menyatakan Sigumar mati kerana serangan jantung.

“Ia tidak logik sama sekali. Mengapa ketika beliau mati terdapat beberapa kesan calar ditubuhnya dan mengapa beliau mati dalam keadaan tergari? Ini perlu dijawab,” katanya ditemui di depan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang, semalam.

Bapa saudara mangsa, A Kuppusamy pula kesal dengan tindakan polis terhadap mangsa yang ternyata tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

“Adakah begini caranya anggota polis menjalankan kerja?.

“Inikah dia polis yang digambarkan mesra rakyat sehingga sanggup membelasah anak saudara saya sampai mati?.

“Saya sama sekali tidak boleh menerima dengan apa yang berlaku, polis yang terlibat perlu dihukum dan dikenakan tindakan segera,” katanya.

Tiada ulasan: